Menteri Pengangkutan mengelirukan isu KXP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya, membangkitkan jawapan Menteri Pengangkutan mengenai status Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kerana mengelirukan Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, mengikut Peraturan 36(12), mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan sebagai menghina majlis.

- Advertisement -

“Datuk Yang di-Pertua, jawapan dari (Ahli Parlimen) Seremban semalam berhubung KXP, yang YB (Yang Berhormat) Menteri Pengangkutan sebut bahawa KXP tidak pernah memohon kepada kerajaan untuk dibangunkan.

“Sebenarnya sudah ada permohonan dan saya akan usulkan kepada Speaker (Yang di-Pertua) berkaitan perkara ini,” katanya mencelah sebelum sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika penggulungan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya, semalam, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan tidak pernah menerima cadangan pembinaan KXP.

Sehubungan itu, katanya tidak timbul bahawa kerajaan menolak pelaksanaan KXP.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tiada sebarang cadangan untuk membina KXP.

Katanya, pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan jika keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencapai tahap maksimum.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, kemudian meminta supaya perkara ini diusulkan secara bertulis – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -