Menoktah miskin tegar dengan bajet terhad

- Advertisement -

ISTILAH menoktah kemiskinan tegar muncul pada teks Bajet 2023. Noktah bermakna ‘full stop’ atau berhenti mengejut. Bukan lagi sekadar koma (,). Maknanya tiada lagi kemiskinan tegar selepas ini.

- Advertisement -

Sebelum itu kita cuba fahami apa yang dimaksudkan miskin. Miskin berlaku apabila keperluan asas tidak mencukupi secara menyeluruh.

Dalam Islam ada tiga perkara yang dikategorikan sebagai keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Bagaimanapun terdapat perbezaan kemiskinan kategori fakir dan miskin. Fakir dimaksudkan lebih kronik. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum orang fakir ialah mereka yang tidak tiada harta mencukupi bagi memenuhi keperluan asas.

Antaranya makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manakala orang miskin (masakin) juga mereka yang tidak mempunyai apa-apa, namun tidak meminta-minta kepada manusia.

Pada sidang Dewan Rakyat Selasa lepas Menteri Ekonomi menyebut Kelantan negeri kedua mempunyai paling ramai rakyat miskin tegar di negara ini.

Rangking teratas kategori itu Sabah. Turut disenaraikan Terengganu, Perlis dan Kedah. Ini bermaksud empat daripada enam negeri paling ramai miskin tegar diterajui Perikatan Nasional (PN).

Antara faktor penyumbang kata menteri ekonomi kerana tidak banyak peluang pekerjaan di negeri terbabit.

Kajian mengenainya sudah banyak dilakukan pakar bidang berkaitan. Sudah dibahas di banyak seminar dan simposium termasuk di Kota Bharu dan Kuala Lumpur.

Kesimpulannya kerana kurang kemudahan asas. Kelantan tiada lebuh raya, tiada pelabuhan dan tiada airport bertaraf antarabangsa. Itu isu pokok.

Lebuh raya setakat Gemuruh

Macam mana hendak tarik pelabur sedangkan kemudahan asas tiada. Sedangkan semua negeri sudah lama ada lingkaran lebuh raya. Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) hanya ‘dibreak’ di Gemuruh, Terengganu.

Sedangkan ada sebahagian jajaran dibina menghala ke Setiu. Ia kelihatan sudah siap ditar, namun sekarang terbiar. Jajaran itu dilencongkan ke jalan biasa ke Kuala Terengganu dan Setiu.

LPT jajaran ke Kelantan dihentikan di situ. Orang ramai yang melalui LPT3 boleh melihat ‘bangkai’ lebuh raya menghala ke Setiu yang dipendekkan di Gemuruh.

Pelabur tentunya mahu memenimumkan kos eksport. Malah, kerajaan Kelantan sudah beberapa kali memohon dibina pelabuhan di Tumpat, namun tidak diluluskan. Lokasi pelabuhan itu begitu strategik.

Kedudukannya berhampiran Thailand, Vietnam, Kempuchea dan Loas.
Ia bermakna kos penggunaan bahan api kapal kargo lebih murah. Namun, hasrat Kelantan itu tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

Sekiranya perancangan kerajaan negeri mendapat kerjasama pusat, usaha untuk mengurangkan kemiskinan tegar sudah lama menghampiri noktah. Malangnya kerana perbezaan politik, Kelantan menjadi mangsa.

Perkara itu berlaku berpuluh tahun lalu. Situasi hanya berubah selepas 2018 sehingga November 2022. Kelantan tidak lagi berdepan deraan politik.

Banyak projek infrastruktur mulai muncul di Kelantan. Lebuh raya Lingkaran Tengah (CSR) dari sempadan Pahang ke Kuala Krai sedang giat dijalankan.

Begitu juga lebuh raya Kota Bharu-Machang sedang dibina. Selain itu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) rancak dilaksanakan. Semua projek itu dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Malangnya di bawah kerajaan PH-BN, projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai RM1.8 bilion di Labok, Machang masih lagi samar. Sedangkan projek itu dilulus kerajaan sebelum ini.

Selain itu projek Jambatan Palekbang dan jalan raya Pasir Puteh-Machang-Jeli. Projek berkenaan dilulus era kerajaan PH. Ia diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu.

5 projek besar

Kerajaan PH mengumumkan lima projek besar untuk Kelantan. Ia bernilai RM1.4 bilion. Namun, apa yang dicatat pada Bajet Kerajaan PH-BN 2023 hanya beberapa projek disenaraikan untuk Kelantan. Antaranya Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3.

Projek itu sudah dilulus kerajaan sebelum ini. Selain itu Program Community Drumming bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel.

Ia turut meliputi Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.
Disenaraikan juga sebuah feri baharu di antara Pekan Pengkalan Kubor dengan Pekan Takbai, Narathiwat, Thailand bernilai RM9 juta.

Turut juga disebut Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli di Kemaman, Bera dan Gua Musang. Projek tersebut disenarai dalam Bajet 2023.

Kalau kita mengimbau bajet 2023 dan 2021, peruntukan agak besar untuk Kelantan. Bajet 2022 menyebut Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 tahun 2021 Kelantan dilulus peruntukan sebanyak RM1.86 bilion.

Peruntukan itu bagi membiayai 119 projek pembangunan baharu dan 221 projek sambungan. Dan pada Bajet 2022, Kelantan dilulus peruntukan sebanyak RM3.53 bilion.

Selain itu RM159 juta pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh. Kompleks sukan terbabit akan dibina di kawasan seluas 66.4 hektar.

Kelantan juga mendapat lapan projek di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bernilai RM1.36 bilion bagi menyokong projek pembangunan air.

Biarpun begitu tidak dinafikan Kelantan turut mendapat manfaat Bajet 2023. Kelantan disebut mendapat peruntukan RM1.545 bilion. Namun difahamkan ia lebih banyak melibatkan projek sambungan.

Begitu juga Kedah dengan 443 projek bernilai RM1.4586 bilion dan Perlis, 153 projek, dengan peruntukan RM560 juta. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -