Malaysia terima kesan kegawatan Myanmar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia yang bersaiz sederhana dan sangat bergantung kepada keamanan dan ketenteraman di peringkat antarabangsa menyebabkan negara tidak boleh menzahirkan pandangan atau pendirian terlalu keras dan berbeza dengan negara lain.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ini menyebabkan beliau bersetuju dengan pendirian Malaysia ketika berurusan dengan Myanmar.

- Advertisement -

“Cuma pada pandangan YB menteri, adakah ini juga akan turut menjejaskan hubungan dua hala dengan Myanmar dalam jangka masa panjang dan juga kebajikan rakyat kita di sana.

“Ini kerana sampai suatu masa, sudah pasti kita terpaksa berurusan dengan kerajaan yang tidak kita beri pengiktirafan dengan mengambil contoh kerajaan Taliban di Afghanistan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, ketika menjawab mengulangi pendirian negara untuk tidak mengiktiraf pemerintahan junta di Myanmar susulan rampasan kuasa tentera di negara berkenaan pada 2021.

“Malaysia sesungguhnya sangat prihatin terhadap krisis politik dan kemanusiaan yang berpanjangan di Myanmar, malah ia tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

“Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN (5PC) masih belum mencapai tahap memuaskan. Namun, Malaysia tetap meneruskan usaha sedia ada dalam membantu Myanmar mencapai penyelesaian terhadap konflik yang berlaku di negara tersebut,” katanya.

Zambry berkata, walaupun krisis besar berlaku di Myanmar ketika ini, Kedutaan Malaysia di Myanmar masih beroperasi untuk memaklumkan mengenai perkembangan di negara itu.

“Meskipun keadaan yang ada sekarang ini agak sukar, kita tetap meletakkan, meneruskan kedutaan kita di sana melalui kuasa usaha dalam memastikan supaya proses perbincangan dan keterlibatan (bersama anggota ASEAN) dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

“Malah Myanmar masih merupakan anggota ASEAN. Mahu tidak mahu apa berlaku di sana akan mempunyai impaknya di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -