Korban tanah tanah runtuh Indonesia cecah 30 orang

Gambar dari udara udara yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia pada 8 Mac 2023, menunjukkan sebuah perkampungan yang terjejas akibat tanah runtuh di Pulau Serasan, Kabupaten Natuna, Indonesia. (FOTO: BNPB melalui AP)
- Advertisement -

JAKARTA: Anggota penyelamat menemui lebih banyak mayat yang tertimbus di bawah berpuluh-puluh tan lumpur akibat tanah runtuh yang terhempas ke sebuah perkampungan berbukit di pulau terpencil Natuna di Indonesia, menjadikan jumlah kematian kepada 30 orang.

Pihak berkuasa dalam kenyataannya berkata, penambahan jumlah yang maut itu susulan beberapa lagi mayat ditemui pada hari ini, Khamis (9 Mac), sementara berpuluh-puluh lagi masih hilang, lapor AFP

- Advertisement -

“Tanah runtuh itu yang dicetuskan oleh hujan lebat, menjunam ke bawah bukit  pada Isnin (6 Mac) lalu, menimbus 30 rumah di kampung Genting yang terletak di sebuah pulau kecil terpencil di kepulauan Natuna di pinggir Laut China Selatan,” kata Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, tambah kenyataan itu, pihak berkuasa telah mengerahkan lebih 200 penyelamat daripada agensi mencari dan menyelamat, polis dan tentera untuk mencari 33 orang yang masih hilang yang terperangkap di dalam rumah yang tertimbus di bawah tanah runtuh, sedalam 4 meter.

“Lapan orang ditarik keluar hidup-hidup dengan kecederaan, tiga daripadanya dalam keadaan kritikal,” kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Negara, Suharyanto pada Khamis. 

“Mereka dikejarkan lewat pada Isnin ke sebuah hospital di bandar Pontianak di pulau Borneo, kira-kira 300 kilometer dari kampung Genting, tetapi seorang maut di laut dalam perjalanan,” tambahnya.

Gambar dari udara menunjukkan lokasi penempatan penduduk yang ditimbus tanah runtuh di kampung Genting, Indonesia. (FOTO: ABU Blogosphere)

“Operasi mencari dan menyelamat telah dihalang oleh hujan lebat di sekitar lokasi bencana. Cuaca telah memaksa usaha mencari dihentikan beberapa kali, manakala talian komunikasi dan elektrik yang terputus turut menghalang operasi,” kata Suharyanto lagi.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk mencari mangsa yang hilang,” ujarnya sambil menambah bahawa anjing penghidu juga sedang digerakkan dalam pencarian.

Terdahulu, dua buah helikopter dan beberapa kapal yang membawa pasukan penyelamat, perubatan dan bekalan bantuan, termasuk khemah, selimut dan makanan tiba di pulau itu dari Jakarta dan pulau-pulau berdekatan pada Rabu (8 Feb).

“Tanah runtuh pada Isnin itu juga menyebabkan kira-kira 1,300 orang telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan sementara. Pihak berkuasa bimbang angka kematian masih boleh meningkat,” kata Suharyanto.

Hujan bermusim dan air pasang besar dalam beberapa hari kebelakangan ini telah menyebabkan berpuluh-puluh tanah runtuh dan banjir meluas di seluruh Indonesia, rangkaian 17,000 pulau di mana berjuta-juta orang tinggal di kawasan pergunungan atau berhampiran dataran banjir yang subur berhampiran sungai.

Pada Nov 2022, tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi berukuran 5.6 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 335 orang di bandar Cianjur, Jawa Barat, kira-kira satu pertiga daripadanya kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -