Kerajaan beri bantuan, bukan pencen warga emas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai perancangan mencadangkan skim pencen untuk warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan atau pencen PERKESO.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan perkhidmatan sosial berbentuk bantuan kebajikan dan kewangan.

- Advertisement -

Katanya, ini termasuk Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM500 sebulan, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), perkhidmatan penjagaan warga emas di institusi seperti Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan.

“Kementerian juga mengadakan program yang menggalakkan penuaan produktif melalui penyediaan ruang dan peluang kepada warga emas untuk melibatkan diri dalam sektor ekonomi, walaupun dalam skala kecil-kecilan,” katanya menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, katanya Dasar Warga Emas Negara yang diperkenalkan pada 2021 menggariskan enam strategi utama, antaranya ialah keselamatan dan perlindungan.

Beliau berkata, antara pendekatan yang diberi penekanan dalam strategi keselamatan dan perlindungan ialah memperkukuhkan skim perlindungan sosial untuk kumpulan warga emas yang memerlukan.

“Cadangan berhubung perkara ini pernah dibentangkan oleh PERKESO di Majlis Perlindungan Sosial Negara (MySPC) yang diurusetiakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Nancy, kerajaan kini mempersiapkan negara bagi menangani impak negara menua, tua dan sangat tua dengan mengarus perdana Agenda Negara Menua (ANM).

Katanya, ANM dipersetujui oleh kerajaan untuk diterajui dan diselaraskan oleh Kementerian Ekonomi. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -