Jawapan kepada MOT Anthony Effect

- Advertisement -

JAWAPAN Menteri Pengangkutan (MOT) mengenai Kedah Aerotropolis di Parlimen: Kena bawa pemaju jumpa menteri! Aik? Macam itu kah prosedurnya?

YB Menteri juga sebut permohonan belum dibuat. Hah! Ini satu kepalsuan. Semua proses yang perlu antara G to G sudah dilakukan. Cuma sewaktu permohonan, pembentangan dan rundingan dibuat, Menteri MOT bukan Anthony Loke dan Perdana Menteri bukan Perdana Menteri ke-10 (PMX). Adakah kerana orang politik dalam kerajaan bertukar, semua fail lama telah tidak laku atau hilang?

Pembentangan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sudah dibuat pada Ogos dan November 2020. Sudah menerima 8 nasihat yang sedang dipenuhi. Walaupun Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan, bertukar tetapi semua jabatan yang bertanggungjawab masih ada di situ. Kita berurusan antara kerajaan dengan kerajaan, bukan dengan Perdana Menteri dan Menteri secara peribadi!

Permohonan dan pembentangan YAB Perdana Menteri (dua orang) sudah dibuat, pembentangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk dibuat penelitian UKAS sudah dibuat. Status: Pending!

Permohonan untuk pembentangan kepada PMX sudah dibuat melalui dua surat, melalui surat daripada SUK dan satu lagi surat KXP Airportcity Holding. Secara verbal juga sudah dimaklumkan kepada PMX sewaktu syarahan Kerajaan Madani di PICC pada 19 Januari 2023.

Saya juga dimaklumkan oleh KDYMM Sultan Kedah bahawa Baginda sendiri juga telah bertitah kepada PMX mengenai keperluan projek ini disegerakan dalam majlis mengadap YAB PMX kepada baginda di Istana Kedah di Kuala Lumpur, tetapi PMX menyatakan kerajaan tiada keupayaan kewangan buat masa ini. 

Dengan pemakluman ini, maka saya simpulkan bahawa PMX belum ada maklumat terperinci mengenai projek ini, maka saya arahkan SUK mengutus surat kepada PMX untuk diadakan pembentangan projek PFI ini. Saya juga tandatangan surat KXP Airportcity Holding kepada PMX sebagai Pengerusi. Status: Pending!

Kajian EIA dan DEIA sudah dibuat dan pendetailan setelah dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar.

Lawatan, MOU, usahasama, dan pelbagai langkah telah dilakukan, tinggal kelulusan yang berada dalam senarai Persekutuan saja belum diperolehi. Ini bukan kerja pak kadok atau mat jenin. Ini kerja serius.

Jawatankuasa Teknikal Kedah Aerotropolis diketuai oleh Tan Sri Dr Ir. Jamilus Husin, mantan Ketua Pengarah JKR yang membangunkan KLIA dan terlibat dengan beberapa airport lain di dunia ini – diberi jolokan The Airport Man. Tak mungkin Jawatankuasa Teknikal diketuai oleh tauke berpengalaman luas seperti ini tidak ambil kira persekitaran, tataletak dan interaksi projek dengan infrastruktur lain. Ini bukan presentation di media sosial, ini projek besar untuk negeri dan negara! 

Jawatankuasa Kewangan pula diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri. Hanya syarikat yang ada keupayaan kewangan dan mampu laksanakan projek sebesar ini akan disenaraipendekkan. Yang kononnya ada duit tapi cakap belit-belit, broker, jual kertas, duit ada sana ada situ, ada di bank itu bank ini, ada di pulau, di darat, di laut, atas pallet dalam bilik kebal… semua yang seperti gagal!

Konsultan baru yang dilantik untuk merangka konsep, rekabentuk dan pelan perniagaan projek ini adalah anak-anak tempatan yang terbabit dalam industri berkaitan puluhan tahun lamanya. Inilah Aerotropolis yang komprehensif dan memenuhi kehendak industri masa kini dan masa depan. Status: Meyakinkan pemain Antarabangsa dan tempatan dan dibuat MOU. Belum ada yang sepertinya di negara ini.

Pemaju dan pelabur yang akan atau telah dipilih adalah urusan Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan KXP Airportcity Holding, selepas mereka memenuhi setiap kriteria dan syarat ketat yang ditetapkan. Ini projek kerajaan negeri melalui pembiayaan swasta (PFI). Kalau PMX dan MOT tahu syarikat terbaru yang dipilih ini, mereka pun tentu akan teruja dengannya.

Sebuah syarikat pemaju yang telah dilantik kerana memenuhi kriteria awal tetapi kemudiannya gagal memenuhi syarat yang ditetapkan  telah ditamatkan pada April 2022 yang lalu. 

Syarikat itu bukan menarik diri tetapi ditamatkan. Begitulah seriusnya Kerajaan Negeri Kedah menguruskan hal ini. Kami tidak main-main, so, you don’t pusing-pusing. 

Pengulas yang cakap macam pandai tapi rupanya buta dan pekak dalam bidang ini, pergi main jauh-jauh, ini bukan padang permainan kamu.

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -