PAGI ini, dalam perjalanan aku kembali meneruskan tugasan setelah menamatkan cuti, di KLIA, aku telah bertemu dengan dua orang yang aku kenali dan menjadikan fikiranku merasa kagum. Kagum dengan kesungguhan yang telah mereka berikan di jalan dakwah agar Islam terus berkembang. Bukanlah orang lain tidak hebat, tetapi sekadar mahu berkongsi cerita sebagai pedoman.
Pertamanya guruku yang dikasihi, Ustaz Tirmizi Taha Ptbr, seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin. Beliau menghantar anak perempuannya yang ingin pulang ke Mesir. Ustaz Tirmizi dengan bantuan rakan-rakan serta anak muridnya yang lain, berjaya membangunkan sebuah pusat pengajian yang terbuka bagi orang awam. Pusat Talaqqi Batu Rakit (PTBR), sedang meningkat nama atas program-program keagamaan yang dijalankan, terutamanya memperbaiki bacaan al-Quran.
Kesanggupan mereka mencari jalan membelanjakan wang jutaan ringgit bagi membina bangunan itu, amatlah dihargai. Kesungguhan mereka menjemput guru-guru al-Quran dan hafiz dari Mesir, Yaman bagi memberikan ruang memperbaiki bacaan al-Quran, selain kelas-kelas fiqh yang lain juga, bukan suatu usaha yang remeh. Sudah ribuan orang mendapat manfaat dari program ini. Walaupun agak terikat dengan tugasan hakiki beliau, Ustaz Tirmizi terus mengetuai berjuang di jalan dakwah di luar universiti.
Insan istimewa kedua ialah Cikgu Hussin Ismail. Beliau adalah Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat. Ketika aku menyapa ke mana arah perjalanannya, adakah ke Turki, agakanku tepat, beliau menjawab ya. Beliau bersama sembilan lagi rakan-rakan dari Yayasan Amal Malaysia mahu membantu rakyat Turki yang sedang dilanda musibah. Jangkaan akan berada di sana selama lima hari.
Ini bukan kali pertama aku berjumpa dengan sosok tua ini. Sudah beberapa kali bertemu di lapangan terbang, terkadang dengan isterinya. Dan apabila ditanya dari mana atau hendak ke mana, sentiasa jawapan beliau ialah berkaitan dengan misi sama ada dakwah atau kemanusiaan. Jiwanya sungguh muda untuk tugasan itu, tidak sepadan dengan usianya yang jelas dimamah zaman, tanpa mengenal lelah.
Berjalan gagah, tanpa sebarang masalah, di dalam mindanya hanyalah untuk mencari redha Allah atas nama dakwah. Akan ada sahaja cerita misi dakwahnya yang telah dilaksanakan dan akan dibuat. Beliau juga menubuhkan beberapa NGO bagi tujuan dakwah. Pernah membuka satu kawasan perkampungan baharu bagi menyediakan pusat dakwah kepada penduduk di pendalaman. Beliau turut turun bekerja bagi pembukaan itu, bukan hanya mengarah dari kejauhan itu dan ini.
Anak-anak mereka, dalam kesibukan mereka berdua, masih berjaya dididik sebagai hafiz dan hafizah seramai sembilan orang semuanya. Anak-anak mereka sekarang menjadi pengurus beberapa buah pusat tahfiz yang mereka bina, bagi mencari hafiz dan hafizah yang baharu. Sama juga dengan anak-anak Ustaz Tirmizi yang beberapa orang daripadanya sudah menjadi ulamak, hafiz dan hafizah. Tidakkah dapat kita melihat bagaimana Allah membantu mendidik anak-anak mereka kerana perjuangan mereka ini? Hebat sungguh bantuan Allah.
Bagi yang tidak mengenali sejarah Cikgu Hussin, inilah individu bersama beberapa orang lagi termasuk Cikgu Mohamad Deraman yang mengasaskan Unit Amal atau tentera merah yang terkenal itu, sebelum sekarang dikenali sebagai Jabatan Amal Malaysia. Ia bukan kerja sehari dua atau kerja hanya duduk di hadapan komputer mahupun melalui sembang gajah terbang sahaja. Ia adalah satu kerja berkumpulan, berperancangan yang bersamanya ada pelaksanaan yang teratur serta keikhlasan kepada Allah sepanjang hayat.
Dengan itu, semangat mereka telah tertanam dalam diri, ia sudah sedarah sedaging dengan tubuh mereka. Tidak merasa penat kerana itulah latihan mereka sedari muda. Ia bukan seperti sesetengah manusia yang berjanji konon akan aktif selepas pencen kerana sekarang sama ada terlalu sibuk atau takut dengan tindakan. Percayalah spesies manusia yang berjanji sebegitu, insya-Allah akan gagal untuk melaksanakannya selepas pencen. Mereka mungkin akan menjadi hamba kepada anak mereka dengan menjaga cucu sahaja pada hari tuanya.
Mereka berdua ini adalah pejuang kepada agama dengan latar belakang yang berbeza. Ustaz Tirmizi bergerak melalui medan pendidikan, asas kekuatan beliau kerana ilmu agama yang Allah kurniakan. Cikgu Hussin aktif bukan atas nama ulamak, tetapi atas pengalaman beliau dan juga semangat membara bagi menyebarkan Islam. Kedua mereka dalam pengetahuan saya, tidak meminta upah bagi keuntungan diri sendiri. Ini adalah usaha dan kesungguhan kita. Allah yang akan merestuinya.
Jika anda rasa anda ingin mengikuti jejak mereka ini, maka buatlah atau ikutilah misi dakwah sewaktu anda berkesempatan ini. Jangan ditunggu masa yang akan memakan tenaga kita zahir dan batin dan akhirnya kita tersungkur dalam angan-angan sahaja. Dakwah bukan hanya dengan ikrar terutamanya untuk dipuji orang, tetapi dakwah itu ialah jalan yang sukar, susah, sulit, takut, habis harta, dikeji, sebelum kita mendapat redha Allah dengan melepasi ujian ini dengan hati yang ikhlas, berserah kepada Allah.
Latihannya adalah bertahun-tahun, mungkin puluhan tahun, bukan sehari dua dan bukan hanya di bibir. Awasilah dengan golongan yang hanya pandai berkata-kata, tanpa kita melihat ujian yang tertimpa ke atasnya kerana mereka belum diuji keimanannya. Semoga semangat dua insan ini kita contohi, moga mereka berdua akan mati di atas jalan dakwah dan kita mengikuti jejak langkah mereka dan juga pendakwah-pendakwah lain yang ikhlas kerana Allah amiin.
Aku sangat bertuah mengenali dengan dekat kedua sosok ini kerana apabila menghadap Ustaz Tirmizi, sentiasa aku mendapat nasihat agama dan apabila bersua dengan Cikgu Hussin, sering beliau memberikan motivasi untuk semangat perjuangan yang tiada bertepi. Mereka berdua, selain insan-insan terpilih lain, menjadi pemangkin bagi aku berjuang mengikut kemahiran yang Allah kurniakan kepadaku. Atau mungkin juga dapat menumpang pahala mereka di akhirat nanti.
MOHD NASIR ABDULLAH
9 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 9/3/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Ikhlas berjuang kerana Allah
- Advertisement -