Galakkan anak muda sertai industri getah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anak muda kini dilihat semakin hilang minat terhadap industri getah negara.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, kerajaan wajar mengambil langkah untuk memastikan golongan muda berminat untuk menceburi bidang perladangan getah.

- Advertisement -

“Kita sekarang ini, berbincang banyak tentang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan orang muda. Jadi, bagaimana kita mahu pastikan mereka berminat menceburi bidang perladangan getah.

“Mungkin secara kecil-kecilan, bagaimana kerajaan mahu padankan antara keperluan ini yang akan membantu kita mengeluarkan getah bermutu tinggi daripada terus mengimport dari negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2023 Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab perkara ini, Ahmad Zahid berkata, usaha ke arah itu dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan kementeriannya sendiri.

“Untuk pengeluaran lateks tidak memerlukan graduan TVET, ia memerlukan kerjasama koperasi atau persatuan pekebun kecil yang semuanya di bawah RISDA.

“Langkah yang disebutkan ini sebenarnya menuju ke arah pengurangan pengimportan dan penambahan pengeluaran lateks dalam jangka masa panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -