Dasar berbaur liberal: Hak Melayu terancam

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nasib ekonomi dan hak orang Melayu semakin terabai dan terjejas, malah mungkin akan terlupus dalam tempoh 10 tahun jika sekiranya tiada usaha tegas mempertahankannya.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, perkara itu adalah akibat dasar liberal dan agenda DAP yang mula diserap dan menyerap masuk dalam dasar dan polisi negara.

- Advertisement -

“Dalam bidang ekonomi sehingga kini, tiada usaha yang jelas dan tegas dalam pembentangan bajet 2023 khususnya bagi mempertahankan dan memperkukuhkan usahawan dan peniaga Melayu yang masih terjejas teruk pasca pandemik.

“Dasar meritokrasi dalam peluang ekonomi jika dilaksanakan akan membunuh perniagaan orang melayu yang masih memerlukan kuota dan sokongan peruntukan dalam bidang tertentu.

“Usahawan Melayu masih memerlukan kuota khas bumiputera bagi mendapat peluang ekonomi contohnya kuota khas kepada tender bumiputera dan lain-lain bidang kerana mereka tidak boleh dan mampu bersaing di bidang swasta,” kata kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, kemampuan orang Melayu memiliki hartanah juga semakin mengecil dan tertekan akibat harga rumah yang semakin tinggi dan meningkat.

“Keputusan kerajaan membawa masuk pakar perumahan daripada Singapura HDB (Housing Development Board) sudah pasti akan memberi kesan lebih buruk kepada pemilikan hartanah. 

“Kesan ini telah pun berlaku di Singapura dan Pulau Pinang bila pembangunan dilaksanakan secara skala besar orang Melayu di kawasan tersebut akan terkeluar ke pinggir dan luar bandar,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya dasar liberal dan sama rata kerajaan PH-BN telah menyerap masuk dalam polisi kerajaan, Ummah berpendapat soal kepentingan orang Melayu dan hak bumiputera akan semakin terancam dan akan terlupus dalam tempoh 10 tahun sahaja.

“Kesedaran wajar digerakkan secara berterusan agar usaha mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dalam perlembagaan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan dan pemilikan ekuiti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan akan tetap terpelihara dan dipertahankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -