Ahli, penyokong Bersatu diminta bertenang

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Ahli dan penyokong Bersatu di seluruh negara diminta bertenang dan bersabar terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Setiausaha Agungnya Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, penyokong hendaklah berdoa semoga kes tersebut lebih cepat selesai.

Katanya, siasatan yang dihadapi Muhyiddin dianggap sebagai tindakan politik dilakukan kerajaan sekarang bagi menyekat kemaraan Perikatan Nasional.

“Apa pun kita berharap pegawai SPRM dapat menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan politik. Ini kerana Bersatu sentiasa mengikut lunas undang-undang.

“Tidak sama dengan parti lain di mana ada yang melanggar undang-undang yang ditetapkan parti itu sendiri.

“Apa yang berlaku sekarang pihak yang tidak menghormati undang-undang diangkat sebagai pemimpin,” kepada media sempena himpunan solidariti bersama Muhyiddin di hadapan pejabat SPRM di sini, hari ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mengajak penyokong Bersatu dan PN hadir beramai-ramai pada majlis solat hajat yang akan diadakan Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak malam ini.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu himpunan tersebut diadakan demi menegakkan keadilan buat Muhyiddin.

Manakala Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak ketinggalan merakam ucapan penghargaan kepada petugas media yang setia menunggu sejak pagi lagi.

Bagaimanapun beliau menyifatkan siasatan SPRM terhadap presiden parti terbabit ekoran penahanan reman yang dilakukan ke atas Bendahari Bersatu Datuk Mohd Salleh Bajuri beberapa hari lalu.

Penahanan itu ada kaitan siasatan dilakukan ke atas vendor-vendor Bersatu. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -