Perkasakan sistem kesihatan Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem kesihatan Malaysia sukar diperkasakan dan tidak lestari jika peruntukan hanya 2.56 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK).

Ini menyebabkan Kapten (B) Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) meminta penjelasan Kementerian Kesihatan mengenai status Skim Insurans Kesihatan Kebangsaan bagi memenuhi keperluan rakyat.

- Advertisement -

Bagaimanapun, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim kerana telah menambah peruntukan untuk kementerian itu daripada RM26 bilion kepada RM36 bilion pada pembentangan Bajet 2023.

“Melalui peningkatan pada kali ini, kita mengharapkan ia mampu meningkatkan kelestarian Kementerian Kesihatan sendiri.

“Saya ingin bertanya apakah status Kertas Putih Kesihatan negara dan apakah dasar yang digunakan untuk mengambil kira tentang insurans kesihatan sosial negara,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Kertas Putih Kesihatan sekiranya diterima untuk diteruskan adalah permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan negara.

“Antara teras strategik kertas putih ini adalah memastikan kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan dengan mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk kesihatan.

“Ia akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan skim insurans kesihatan nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -