Pelabuhan Klang seperti bandar mati

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun Pelabuhan Klang disenaraikan sebagai pelabuhan ke-12 paling sibuk di dunia, keadaan bandar Pelabuhan Klang itu seperti bandar mati.

Sehubungan itu, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berharap Kementerian Pengangkutan dapat mengusahakan sesuatu bagi mengindahkan lagi suasana bandar itu.

- Advertisement -

“Pelabuhan Utara yang terletak di Klang adalah pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia, jadi saya mohon kerajaan dapat memberi tumpuan supaya infrastuktur di bandar berkenaan `up to standard’ (mencapai tahap sepatutnya).

“Jalan, pelabuhan, malah bandar pelabuhan itu sendiri macam bandar mati, kita tengok bangunan yang buruk-buruk dan yang lama-lama,” katanya semasa mencelah penggulungan Belanjawan 2023 Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bersetuju dengan keadaan jalan sekitar Pelabuhan Klang, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan sedang berusaha mendapatkan peruntukan Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, katanya dari aspek infrastuktur tidak menjadi masalah di sana memandangkan peralatan di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan di Klang adalah milik syarikat swasta.

“Kedua-dua operator ini adalah syarikat swasta dan mereka melabur untuk peralatan dan sebagainya, cuma kerajaan perlu memastikan perjalanan ke kawasan itu dapat ditambah baik dari mutu jalan.

“Perlu faham itu adalah kawasan pelabuhan, cabaran terbesar yang kita perlu hadapi ialah banyak kenderaan perdagangan selalu overloading (terlebih muatan) sehingga menyebabkab kerosakan jalan dan keadaan di sana kurang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!