Kenapa musuh sangat takut dengan kata-kata Rasulullah?

- Advertisement -

SYEIKH al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Nabi Muhammad S.A.W adalah manusia yang paling sempurna dalam keberanian yang amat diperlukan bagi seseorang pemimpin perang. Baginda tidak pernah membunuh seorangpun dengan tangan Baginda sendiri kecuali Ubai bin Khalaf, yang dibunuh Baginda dalam peperangan Uhud. Baginda tidak pernah membunuh seorang pun sebelum atau selepasnya sama sekali.

Ubai bin Khalaf berkata: “Demi Allah aku pasti akan membunuh Muhammad.” Perkataannya itu sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W, 

Baginda bersabda yang bermaksud: “Bahkan aku yang akan membunuhnya, Insya-Allah.” 

Seorang lelaki yang mendengar perkataan Nabi S.A.W tersebut pergi menemui Ubai bin Khalaf dan berkata kepadanya: “Ketika dikhabarkan kepada Muhammad apa yang engkau (Ubai bin Khalaf) katakan, beliau (Muhammad S.A.W) berkata: “Bahkan aku yang akan membunuhnya, Insya-Allah.”   

Perkhabaran itu menyebabkan Ubai bin Khalaf ketakutan dan berkata: “Kamu bersumpah dengan Nama Allah yang kamu benar-benar mendengar dia berkata sedemikian?” lelaki itu menjawab: “Ya!” lalu berita itu memberi kesan kepada dirinya, kerana mereka semua (orang-orang Quraisy) tidak pernah mendengar Rasulullah S.A.W mengucapkan sesuatu melainkan perkara itu benar berlaku. 

Pada hari peperangan Uhud, Ubai bin Khalaf keluar ke medan perang bersama dengan orang-orang Musyrikin lainnya. Ubai mencari-cari peluang Baginda dalam keadaan lalai untuk bertindak ke atas Baginda. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan Muslimin menghalang Ubai dengan Nabi S.A.W. Apabila Rasulullah melihat keadaan itu, Baginda bersabda yang bermaksud: “Biarkan dia.” Lalu Baginda mengambil sebilah senjata dan menikamnya.  Ada juga yang berkata: Baginda membalingnya dan tepat mengenai bahagian bawah lehernya, di bawah pelindung lehernya di bahagian atas baju besinya. Darah tidak banyak keluar dan kesemuanya terhimpun di bahagian lehernya, menjadikan dia berteriak seperti teriak seekor lembu. 

Kawan-kawannya datang dan memikulnya dalam keadaan dia berteriak. Mereka berkata: “kenapa ini? Demi Allah tiada apa denganmu melainkan toresan sikit sahaja.” 

Lalu Ubai bin Khalaf berkata: “Demi Allah, jika tidak kena kepadaku melainkan air liurnya, pasti sudah cukup untuk membunuhku. 

Bukankah dia (Muhammad S.A.W) telah berkata: “Aku akan membunuhnya (Ubai bin Khalaf), Insya-Allah?” sehari selepas itu dia pun meninggal dunia.

Begitulah musuh sangat takut dengan kata-kata Rasulullah S.A.W.

Kata-kata siapakah lagi yang akan menakutkan  musuh Islam kalaulah bukan kata-kata pewaris Nabi S.A.W.

USTAZ SALIM MAHMOOD AL HAFIZ – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -