Faktor lokasi gagalkan PR1MA Batu Rakit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek perumahan PR1MA di Batu Rakit, Setiu yang terpaksa dihentikan apabila hanya ditempah kira-kira 10 peratus pembeli menyebabkan Ahli Parlimen Setiu membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain Abd Kadir meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk memindahkan projek itu yang terlalu hampir dengan pantai dan terdedah kepada hakisan ke lokasi lain yang berdekatan tapak asal.

- Advertisement -

Beliau yang mengemukakan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, turut meminta kerajaan menyatakan jumlah projek perumahan PR1MA yang terbengkalai di seluruh negara dan kriteria tanah yang dipilih untuk projek perumahan itu.

Menjawab persoalan ini, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, masalah di Setiu akan diteliti dengan lebih terperinci.

“Seingat saya pada 2019/2020 ketika banyak projek yang mungkin tidak boleh dilaksanakan, maka berlaku proses untuk menghentikan atau menyebabkan projek langsung tidak dapat diteruskan.

“Berhubung permintaan YB sama ada kita akan pindahkan ke tapak lain, saya kena semak dengan pengurusan PR1MA. Seperti yang YB ketahui, sesebuah projek itu berjaya atau tidak juga berkaitan lokasi dan aliran tunai,” katanya.

Sementara itu, katanya kementerian menubuhkan pasukan petugas projek rumah lewat, sakit dan terbengkalai.

Selain projek pihak swasta, katanya kementerian memantau rapi projek yang diusahakan oleh agensi berkaitan kerajaan (GLC).

“Bagi projek PR1MA, berdasarkan maklumat hampir 18 projek yang kita tahu ada sedikit masalah atau memang sakit, sementara pasukan petugas mensasarkan sekurang-kurangnya 10 projek untuk diselesaikan dalam tempoh setahun.

“Ini bergantung juga kepada situasi semasa, termasuk tenaga kerja, kelulusan di peringkat kerajaan tempatan mahu pun penyedia kemudahan utiliti sendiri dari segi komitmen mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -