`Aku pikul mayat dia, dua pengganas komunis mati’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ucapan Ahli Parlimen Ketereh menyebabkan suasana Dewan Rakyat, hari ini, tiba-tiba senyap sunyi apabila veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menceritakan pengalamannya menentang pangganas komunis.

Datuk Khlir Mohd Nor berkata: “Saya pernah bertempur dengan komunis. Seorang daripada anggota saya mati. Aku pikul mayat dia. Dua pengganas komunis mati.

- Advertisement -

“(Tapi) apa jadi pada penyelarasan pencen dia? Kebanyakan mereka ini yang berkhidmat semasa darurat dah berumur 70 tahun ke atas sekarang. Jadi mereka ini ternanti-nanti,” katanya.

Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) itu menceritakan pengalamannya ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2023 oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khlir sebelum ini konsisten membangkitkan nasib veteran ATM yang masih ternanti-nanti janji penyelarasan pencen.

Beliau melahirkan perasaan kecewa kerana pengorbanan veteran tentera yang berjuang menentang pengganas komunis kelihatan seperti tidak dihargai.

“Bajet besar atau tidak, kita kena selesaikan juga benda ini menteri. Tolonglah saya,” katanya.

Mohamad berjanji perkara itu menjadi fokus Kementerian Pertahanan dan ini memerlukan formula yang sesuai untuk membolehkan penyelarasan pencen veteran tentera menjadi kenyataan.

Menurutnya, penyelarasan pencen veteran ATM bakal mencecah berbilion ringgit dan kerajaan berusaha mencari formula kerana mahu isu ini diselesaikan. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -