Akta baharu tangani masalah kesesakan penjara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta baharu, iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) akan diperkenalkan bagi mengurangkan bilangan penagih di penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata negara berdepan dengan masalah kesesakan pesalah reman dan sabitan di 39 penjara.

- Advertisement -

Melalui akta yang sedang digubal itu, katanya mana-mana penagih yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dabah Berbahaya 1956 dan perlu melalui hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun, hanya perlu mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan pemulihan komuniti.

Katanya, akta itu dalam proses penggubalan dan dijangka boleh dibentangkan di Parlimen tahun ini dan selepas diluluskan, kes membabitkan penemuan dadah dalam badan akan mengikuti program rawatan di bawah AADK atau rawatan pemulihan dalam komuniti.

“Saya fikir ini akan memberi kesan signifikan untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara. Hari ini, kita ada 39 penjara seluruh negara dan kapasiti sekarang tahanannya, 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara kita cuma asalnya sekitar 65,000,” katanya menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, melalui pelaksanaan akta baharu itu, penagih yang dihantar ke institusi AADK perlu menjalani rawatan selama dua tahun dan kemudian menyambung rawatan peringkat komuniti untuk tempoh dua tahun lagi.

“Kalau rawatan pemulihan komuniti sahaja, mereka perlu ditempatkan selama tiga tahun… berbeza dengan sekarang, pesalah ini mungkin berakhir di penjara,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!