Tuduh PAS bawa ideologi radikal berniat jahat

Ustaz Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya PAS membawa ideologi radikal berbaur ektstrisme, meleset dan hanya ilusi yang tiada asas kukuh daripada realiti sebenar.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, tuduhan itu lebih kepada berniat jahat untuk memomokkan perjuangan mempertahankan agama berwajah ekstrem.

“Adakah dengan mempertahankan hak agama, bersikap tegas terhadap isu-isu melibatkan kepentingan agama dianggap tindakan radikal?

“Sedangkan PAS sentiasa mengamalkan prinsip politik bersemuka sejak awal penubuhannya dan terus dipertahankan sehingga hari ini,” kata beliau pada satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian membidas tohmahan Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti (J-KOM) Prof. Datuk Dr Agus Yusoff, konon wujudnya ideologi radikal di kalangan parti politik pembangkang yang mampu menggugat kestabilan negara untuk menggulingkan kerajaan persekutuan hari ini.

Malah kenyataannya yang dilaporkan oleh sebuah media tempatan pada 6 Mac secara terang menyamakan idelogi radikal yang diamalkan pembangkang mendorong ahlinya berkelakuan selari dengan kumpulan militan Islam (IS).

Justeru Ahmad bertanya, adakah bersikap tegas terhadap perkembangan golongan lesbian, gay, bioseksual dan transeksual (LGBT), liberalisme serta pluralisme yang bangkit mewajahkan diri sebenar mereka sejak kebelakangan ini dianggap ekstrem.

“Adakah ini juga termasuk dalam definisi ekstrem oleh Ketua Pengarah J-KOM? Adakah pendirian PAS itu juga suatu tindakan radikal sedangkan PAS mengingatkan umat Islam tentang bahaya golongan ini kepada akidah sebagai seorang Muslim.

“Bagaimana pula sokongan besar rakyat terhadap PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Adakah mereka yang menyokong PAS dan PN juga radial?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Malah tambahnya, kerajaan yang dikatakan meletakkan prinsip madani di hadapan pernah menuduh PAS mengambil dana tajaan syarikat perjudian sedangkan dalam masa parti itu membuktikan komitmen menutup premis perjudian di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

“Di mana pertimbangan rasional, etika serta bersikap tidak bias dalam sesuatu penilaian yang cukup dititiberatkan oleh seseorang yang pernah berada lapangan akademik?

“Terlalu banyak jawapan berbanding persoalan yang dibangkitkan. Malangnya, pemikiran golongan sebegini telah cuba mensudutkan PAS sebagai ekstrim dan radikal,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ketua Pengarah J-KOM agar lebih memokuskan tugas hakikinya dan mengubah mentaliti agar lebih matang.

Katanya, rakyat menilai tindak tanduk kerajaan pada hari ini dan usahlah menjadi ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. – HARAKAHDAILY 7/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -