Shahidan kemuka usul tergempar isu surat RoS, esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu usul tergempar akan dikemukakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Dewan Rakyat esok, berhubung sepucuk surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Menurut Shahidan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi penjelasan mengenai surat berkenaan yang bertentangan dengan kenyataan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

- Advertisement -

Katanya, usul itu perlu disegerakan dan akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) demi kepentingan orang ramai.

“Usul ini berhubung satu surat yang telah dihantar oleh RoS kepada Ibu Pejabat Umno berhubung pindaan usul tambahan yang diputuskan dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) 2022 lepas.

“Usul tambahan itu mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Ia bertentangan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan Umno,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) di Lobi Parlimen, hari ini.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu berkata, beliau sedang membuat persediaan untuk mengemukakan usul tersebut.

Jika surat RoS itu tulen, beliau beranggapan bahawa tindakan KDN adalah suatu bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Demi Kerajaan Madani yang hebat dan dahsyat, kita jangan buat perkara sebegini. Apabila RoS telah buat keputusan, saya ingat kita kena patuh, jangan kita buat benda berlainan, kerana ini menunjukkan benda yang tidak betul.

“(Saya yakin) Kerajaan madani adalah kerajaan yang adil untuk semua, bukan sesetengah pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023