Pertanian bandar: Solusi kurangkan kos sara hidup, jamin sumber makanan

Foto hiasan.
- Advertisement -

PERTANIAN bandar semakin popular dalam kalangan warga kota sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada 2019. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan lebih setahun memberi kekangan kepada orang ramai untuk keluar mendapatkan keperluan asas.

- Advertisement -

Meskipun, kerajaan ketika itu memberi kelonggaran pergerakan secara berperingkat namun, ‘ketakutan’ kepada wabak tersebut sering menghantui masyarakat. Justeru, masyarakat mula bercucuk tanam di rumah terutamanya, jenis tanaman kegunaan harian.

Sebenarnya, pertanian bukanlah sesuatu asing kerana ia masih digunapakai berkurun lama sehingga hari ini dalam menyumbang sumber makanan kepada negara.

Secara ringkasnya, pertanian bandar bermaksud aktiviti menghasil, memproses dan memasarkan makanan dan produk pertanian di dalam kawasan bandar dan pinggir bandar menggunakan kaedah pengeluaran intensif, menggunakan (semula) sumber asli serta sisa buangan bandar untuk menghasilkan kepelbagaian makanan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pula mentakrifkan pertanian bandar sebagai aktiviti pertanian secara menanam, menaikkan, memproses dan mengedarkan produk pertanian tanpa mengira saiz tanah dan jumlah sumber manusia di bandar dan pekan.

Di Malaysia, Program Pertanian Bandar (PPB) telah diperkenalkan secara rasminya pada tahun 2014 setelah pembentukan bahagian pertanian bandar di bawah Jabatan Pertanian Malaysia.

Pertanian bandar selalunya dilakukan dikawasan yang terhad seperti kawasan terbiar, sudut atau ruang kosong termasuk atas bumbung dirumah atau bangunan yang boleh mengunakan pelbagai kaedah seperti aeroponik, fertigasi, teknik filem nutrient (NFT) dan nutripot.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berlaku peningkatan penglibatan dalam pertanian bandar apabila 36,275 individu terlibat pada 2020 berbanding 18,687 individu pada 2019 iaitu berlaku pertambahan sebanyak 17,588 individu, hanya dalam tempoh setahun. Ia jelas menunjukkan minat orang ramai kepada pertanian bandar semakin meningkat.

Pertanian bandar, kini bukan sahaja boleh dilihat sebagai memenuhi keperluan asas isi rumah bahkan ia secara langsung dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40.

Menerusi program Pembangunan Pertanian Komuniti, Jabatan Pertanian turut menyasarkan untuk mengurangkan kos setiap isi rumah sebanyak RM1,296 pada 2021 kepada RM1,680 pada 2025. Berlaku pertambahan penjimatan kos sebanyak RM384 setahun untuk isi rumah.

Meski ia bukan satu amaun yang besar, namun penjimatan tersebut memberi kesan signifikan kepada kos sara hidup rakyat ketika ketidaktentuan ekonomi.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebuah keluarga membelanjakan RM350.00 secara purata pada setiap bulan untuk membeli sayur-sayuran, manakala kajian yang lain pula menyatakan isi rumah membelanjakan 50 peratus sehingga 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk mendapatkan makanan.

Situasi itu boleh menyebabkan ada dalam kalangan mereka berhadapan dengan situasi miskin bandar. Justeru, masyarakat bandar dilihat mampu untuk mengurangkan kos perbelanjaan dapur apabila boleh memetik hasil sayur-sayuran mereka sendiri untuk dimasak.

Berdasarkan kajian Resource Centre on Urban Agriculture and Food Security (RUAF), penduduk bandar di negara-negara maju secara umumnya, membelanjakan 40 peratus sehingga 60 peratus daripada pendapatan mereka bagi mendapatkan makanan.

Di bandar-bandar maju seperti di London misalnya, 18 peratus pengeluaran hasil pertaniannya adalah dari ‘Urban Horticulture’ atau pertanian bandar yang diuruskan sendiri oleh penduduk bandar. Di bandar Tokyo, 70,000 penghuninya menjalankan aktiviti pertanian di bandar sebagai aktiviti sampingan bagi mendapatkan sumber makanan  selain menampung keperluan kehidupan mereka.

Penglibatan warga kota terhadap pertanian bandar tidak boleh diukur pada kuantiti sahaja, malah lebih mustahak adalah untuk memastikan usaha digerakkan secara konsisten dan mampan.

Sebelum ini, Menteri Kos Sara Hidup dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan komitmennya untuk mengangkat bidang pertanian ke tahap profesional sehingga mampu menjana pendapatan lumayan.

Malah, beliau mengakui sesetengah orang masih tidak menganggap pertanian sebagai satu pekerjaan dan ambil sikap acuh tidak acuh.

Sehubungan itu, intervensi kerajaan penting dalam memastikan aspek kemampanan terjamin termasuk pertanian bandar. Beberapa langkah perlu diambil oleh kerajaan seperti suntikan dana, siri program kesedaran, pengiktirafan terhadap petani bandar, serta penglibatan lebih ramai anak muda dalam sektor berkenaan.

Menerusi Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntuk RM228 juta kepada 240,000 pesawah seluruh negara selain, RM1.6 bilion untuk meneruskan pemberian subsidi dan intensif padi serta beras.

Pesawah juga akan menikmati perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras oleh BERNAS. Melihat kepada Belanjawan 2023, pertanian bandar tidak diberi penekanan dari aspek suntikan dana.

Walaupun, pertanian belum lagi menjadi sumber makanan utama, namun perhatian dan penekanan perlu diberikan seawal mungkin.

Bahkan, Jabatan Pertanian meletakkan sasaran untuk menghasil 8,800 metrik tan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan untuk rakyat menjelang 2025. Pastinya, rangsangan perlu diberikan bagi memastikan matlamat tersebut berjaya dicapai mengikut tempoh masa ditetapkan.

Selain itu, pertanian bandar juga dilihat tidak mampan berikutan kurangnya penglibatan golongan muda dalam bidang ini. Mungkin, pertanian dilihat sinonim sebagai sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Dalam usaha mengubah mentaliti ini, kerajaan perlu mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pertanian bandar seiring dengan golongan berkenaan. Ia secara tidak langsung mendekatkan mereka kepada mengenali pelbagai jenis tanaman sekali gus, memperkenalkannya kepada umum menerusi kepakaran masing-masing seperti penyuntingan video dan perhubungan awam.

Intihanya, kerajaan harus melihat aktiviti pertanian bandar sebagai satu susaha yang penting dalam memberikan alternatif dan penyelesaian kepada permasalahan peningkatan kos sara hidup yang kian membelenggu rakyat terutamanya masyarakat bandar hari ini.

Dengan sokongan jitu pihak kerajaan selain usaha melalui kempen berterusan yang dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di luar sana, aktiviti pertanian bandar ini pasti mampu menjadi pilihan utama rakyat.

Selain dapat mengurangkan kos pembelanjaan isi rumah, pertanian bandar juga dijangka mampu menjadi medium untuk mengekalkan kelestarian alam dankawasan bandar dengan meningkatkan jumlah kawasan hijau.

HAFIZUDDIN YAHAYA
Penyelidik YSL
Portfolio Pendidikan dan Sumber Manusia – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -