Komitmen pertahan Lynas seperti pernah menentangnya

- Advertisement -

KALAU Lynas bahaya, saya pasti paling ke depan lawan mereka – apa cara sekalipun.

Sebelum bulan Julai tahun ini, Lynas perlu menutup fasiliti pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching – C&L) di Gebeng dan dipindahkan operasinya ke luar negara.

Ia sebahagian daripada syarat yang ditetapkan kerajaan bagi pelanjutan lesen operasi kilang tersebut hingga Mac 2026.

Langkah ini akan memberi kesan kepada lebih 800 tenaga kerja tempatan yang terlibat di fasiliti tersebut. Mereka termasuk para pekerja tetap, kontrak dan subkontrak.

Ini sudah pasti akan memberikan kesan langsung kepada ribuan isi rumah yang bergantung kepada pendapatan para pekerja ini.

Dalam konteks yang lebih luas pula, ia akan menjejaskan daya saing negara dalam industri nadir bumi dunia jika rantaian nilai ini (value chain) dirungkaikan.

Apatah lagi industri ini memiliki potensi yang besar kepada ekonomi negara apabila diambil kira simpanan bahan nadir bumi di negeri-negeri seperti Perak, Kedah dan Terengganu, selain prospek permintaan terhadap bahan yang dikeluarkan daripada negara-negara maju seperti Australia, Jepun dan Amerika Syarikat.

Nilai sumbangan kepada ekonomi tempatan daripada fasiliti C&L Lynas yang akan ditutup ini sahaja kira-kira RM200 juta setahun.

Bukan sedikit juga jumlah pekerja tempatan yang mendapat kemahiran dan kepakaran dalam industri ini.

Banyak yang diperkatakan mengenai operasi Lynas selama ini khususnya berkaitan bahan sisa yang dihasilkan daripada fasiliti C&L tersebut.

Saya sendiri pernah mempengerusikan gerakan Stop Lynas Coalition sekitar tahun 2010 – 2013 yang menghimpunkan lebih 20 pertubuhan bagi membantah operasi kilang Lynas di sini.

Masa berlalu, pelbagai dapatan telah diambil melalui kajian, peraturan, penilaian dan laporan oleh agensi-agensi berkuasa.

Ini termasuk Lembaga Perlesenan Agensi Atom (AELB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Saya perlu adil dalam membuat pertimbangan semula terhadap tahap keselamatan operasi kilang ini berdasarkan dapatan dan laporan oleh agensi-agensi ini selain daripada pakar-pakar akademik dan industri.

Sudah lebih 10 tahun kilang ini beroperasi. Sudah banyak data yang dikumpul dan dibentangkan untuk kita semua membuat penilaian yang jujur dan adil.

Kerana itu saya berpendapat tindakan kerajaan yang menetapkan syarat penutupan fasiliti C&L sebagai tidak adil dan tidak wajar kepada Lynas dan para pekerja mereka.

Melihat ke belakang, segalanya bermula pada tahun 2018 ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 2018 telah mengarahkan supaya sisa Lynas dibawa ke luar negara sebagai syarat pelanjutan lesen operasi.

Namun ia ‘dibatalkan’ oleh YAB Perdana Menteri ketika itu. Lalu sisa tersebut hanya perlu dilupuskan di fasiliti dalam negara sahaja yang sedang dalam pembinaan ketika ini.

Lanjutan dari itu, syarat yang dikenakan diubah kepada penutupan fasiliti C&L selain larangan mengimport bijih lantanida untuk diproses di sini.

Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Namun ia kelihatan seperti gerakan berterusan yang berdasarkan kepada prasangka yang tidak berasas dan pendirian yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan dengan itu, sebagaimana komitmen saya melawan Lynas sebelum ini, saya berikan komitmen yang sama untuk mempertahankannya kali ini.

Saluran-saluran yang wajar akan digunakan bagi meminta pihak kerajaan membuat pertimbangan semula terhadap keputusannya.

Bersama sahabat-sahabat khususnya dalam Dewan Negeri Pahang, kami akan mengusahakan libat urus bersama pihak-pihak berkaitan bagi mencapai tujuan tersebut.

Petang semalam kami berkunjung ke pejabat Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng untuk salah satu sesi libat urus berkaitan isu yang diketengahkan oleh mereka.

Pendirian ini dibuat adalah demi nasib ratusan pekerja dan ribuan isi rumah yang akan terkesan, serta untuk kepentingan ekonomi negeri dan negara.

Saya juga menyeru ahli masyarakat prihatin agar dapat bersama-sama mengambil pendirian yang adil berhubung perkara ini dan memberikan informasi dan pencerahan yang telus kepada masyarakat awam.

Kadangkala kebenaran memang pahit. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua, insya-Allah.

YB ANDANSURA RABU
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -