KUALA LUMPUR: “Setahu saya yang amat arif, Ketua Hakim Negara pun tidak ada outrider (polis pengiring), apatah lagi hakim yang mendengar kes di peringkat Mahkamah Tinggi, kata Dato’ Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Beliau berkata demikian susulan maklum balas secara bertulis daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berhubung hak istimewa anggota pentadbiran layak mendapat kawalan polis semasa menghadiri kes di mahkamah.
“Saya mendapat jawapan bertulis YB (Yang Berhormat) Menteri Dalam Negeri, beliau mengatakan bahawa tujuan utama menggunakan outrider adalah untuk keselamatan semasa berada di jalan raya.
“Seseorang kenamaan masih mempunyai kelayakan selagi mana masih memegang jawatan yang diperuntukan dalam senarai SOP outrider PDRM, termasuk jika sekiranya beliau perlu menghadiri perbicaraannya di mahkamah.
“Inilah untuk makluman seluruh rakyat Malaysia sekalian, sesiapa anggota pentadbiran yang ada kes di mahkamah, dia layak mendapat outrider, dia boleh diiring oleh outrider ke mahkamah,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN turut membangkitkan perkara itu dalam perbahasan usul Titah Diraja, iaitu persoalan anggota pentadbiran yang menjadi tertuduh berhak mendapat kawalan polis semasa menghadiri kes perbicaraan mahkamah. – HARAKAHDAILY 7/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!