Kadar bantuan racun kepada petani dinaikkan pada 2022

Datuk Muslimin Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menaikkan kadar bantuan bersubsidi racun makhluk perosak di bawah program Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) daripada RM200/hektar permusim kepada RM300 pada 2022.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kadar itu dinaikkan kerana kerajaan menyedari beban yang ditanggung oleh pesawah berikutan kenaikan kos input pertanian, yang implikasi kewangan tambahan sebanyak RM62 juta kepada kerajaan.

“Kenaikan kadar ini bertujuan untuk meringankan kos yang ditanggung oleh pesawah susulan peningkatan harga bahan racun yang ketara,” kata KPKM dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Muslimin Yahaya [PN-Sungai Besar] di Dewan Rakyat, semalam.

Muslimin meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah usaha untuk membantu para pesawah yang terbeban dengan kenaikan kos input pertanian baja dan racun sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“KPKM sentiasa berusaha untuk meringankan beban pesawah dan berharap dapat mengekalkan kadar baharu ini bagi tahun 2023 dan tahun-tahun seterusnya, namun ianya tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa,” ujar KPKM lagi.

Katanya, saban tahun, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM960 juta bagi menyediakan subsidi input pertanian untuk pembangunan industri padi negara.

Jumlah into, ujarnya merangkumi 61 peratus daripada kos keseluruhan pengeluaran padi sehektar.

Jelas KPKM, bentuk subsidi input pertanian yang diberikan adalah meliputi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dalam bentuk baja urea dan baja sebatian; Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dalam bentuk bantuan baja NPK tambahan, bajak, racun makhluk perosak dan pengapuran; dan Insentif Benih Padi Sah (IBPS) manakala Skim Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) adalah diberikan khusus untuk penanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak sahaja. – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -