Guru PASTI ejen dakwah didik generasi muda

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan ejen dakwah yang memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, mereka berperanan dalam membentuk jati diri Islam dalam kalangan para pelajar.

Ini, katanya ekoran ancaman pemikiran yang kian berleluasa mutakhir ini.

“Ancaman akidah ini akan berlaku sepanjang masa dengan pelbagai ideologi dan fahaman yang menyesatkan.

“Ancaman pemikiran ini datang dengan pelbagai bentuk seperti penulisan, filem dan sebagainya,” ujarnya pada Majlis Hi-Tea Muslimat Bersama Guru-Guru PASTI DUN Batu Buruk, di sini kelmarin. (Foto atas)

Tambahnya lagi, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mendidik pelajar PASTI, malah berperanan dalam mendidik masyarakat untuk memahami Islam.

“Sebagai seorang Muslim, menjadi tanggungjawab kita semua untuk berdakwah dan memberi penerangan tentang Islam kepada masyarakat khususnya generasi muda ini,” katanya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Muslimat PAS DUN Batu Buruk, Napisah Muda dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Kuala Terengganu, Kartini Bakar. – HARAKAHDAILY 7/3/2023