DAP cabul kebebasan bersuara DUN Pulau Pinang

Juga hipokrit terhadap hak asasi dan kepentingan rakyat konon diperjuangkan

- Advertisement -

KEBEBASAN bersuara yang kononnya menjadi antara perjuangan hak asasi manusia dan demokrasi diperjuangkan DAP hakikatnya sudah lama mati berkubur dalam parti itu. Khususnya sejak parti yang menggunakan nama demokratik itu menggapai tampuk pemerintahan sejak tahun 2008.

Akhirnya dengan kuasa yang digenggam, DAP tidak dapat menyembunyikan kuku besi tajamnya serta topeng menutupi wajah hipokrit diselindungkan. Tiada siapa-siapa yang bersama atau bersekutu dengan parti itu boleh berbeza pendapat, apatah lagi mengkritik DAP dalam menyatakan kebenaran.

DAP bukan sahaja angkuh dan sombong dengan kuasa, tetapi juga tersasar dan menyimpang dari bersama hala tuju atau matlamat Malaysia selaras Perlembagaan Persekutuan. Mereka kekal dengan asal penubuhan untuk terus memperjuangkan gagasan ‘Malaysian Malaysia’.

Bukti semakin nyata apabila DUN Pulau Pinang yang dikuasai melebihi majoriti dua pertiga oleh mereka, namun tetap bertindak menyingkirkan empat ADUN Pembangkang. Ketakutan DAP semakin menjadi-jadi dan tidak keruan lalu menggunakan enakmen untuk menutup kediktatoran mereka.

- Advertisement -

Pelucutan empat ADUN tersebut adalah ‘tragedi’ kali kedua di mana saya sendiri selaku Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pernah digantung dan dilucutkan jawatan pada 27 September 2014 hanya kerana mengkritik polisi perumahan kerajaan negeri.

Juga kerana mempertahankan kampung tradisional Melayu di negeri ini daripada dirobohkan di mana isu-isu ini saya kemukakan dalam Muktamar Tahunan PAS 2014 di Batu Pahat, Johor ketika era Pakatan Rakyat. Saya menyifatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang mengamalkan pemerintahan ala Mao Zedong.

DAP juga menunjukkan sikap tidak setia kawan dan ikhlas dalam hubungan atau koalisi apabila masih meletakkan ADUN-ADUN Umno di kedudukan Pembangkang. Sedangkan parti itu di peringkat Persekutuan termasuk di negeri-negeri telah bersama dalam satu ‘perpaduan’.

Sikap ‘Abang Besar’ DAP ini bukan sahaja tidak menghormati Umno, tetapi menunjukkan ikatan mereka dalam Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional hanyalah semata-mata politik. Ini tentunya akan menyebabkan rakyat terus menjadi mangsa dari permainan politik mereka.

Dengan perangai sebenar yang ditampilkan DAP itu, Umno perlu menyedari betapa parti itu diketepikan, serta tidak mengalu-alukan kedua parti untuk bersama. Sekali gus menuntut untuk Umno kembali ‘ke pangkal jalan’ memperteguhkan semula agenda Penyatuan Ummah. 

Inilah masanya untuk bersama menamatkan rejim pemerintahan DAP di negeri ini pada PRN tidak lama lagi atau setidak-tidaknya menafikan majoriti dua pertiga telah dipegang. Politik Pulau Pinang boleh menjadi teladan dan membuktikan muslihat parti itu yang bercita-cita menjadikan negeri ini Singapura kedua.

“Malaysia Sejahtera”

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -