Serangan tersirat Mentega Terbang

- Advertisement -

ISU UTAMA pada filem Mentega Terbang bukanlah hanya pada penghinaan yang sangat jelas kepada agama dan umat Islam.

Namun, isu yang lebih besar pada Mentega Terbang ini adalah pada kerisauan umat Islam khususnya golongan dewasa terhadap sasaran demografik filem ini. Umat Islam yang sudah memiliki dan memahami ilmu alat yang betul sudah pasti mempunyai hujah untuk mematahkan persoalan dimainkan dalam filem ini, bahkan mungkin bertambah keimanan dan semakin kuat akidah selepas menonton filem ini.

Tetapi bagaimana dengan golongan yang sedang mencari identiti, masih ‘kelabu’ dalam persoalan asas akidah dan tidak mahir ilmu alat berkenaan persoalan ketuhanan?

Mentega Terbang dirisaukan menjadi peletus untuk merosakkan lagi sistem berfikir golongan yang sedia ada keliru dan masih mencari-cari asas kebenaran. Acapkali golongan yang tersesat dalam isu akidah ini mempunyai premis pemikiran yang tidak konsisten. Sekadar mempersoal dan mempersoal tetapi premis pemikiran dan logiknya punah dan tidak sistematik. Akhirnya lahirlah golongan manusia yang tidak ubah seperti golongan berideologi Sofisme pada zaman Yunani kuno terdahulu.

Keluarga Aisyah iaitu watak utama dalam cerita Mentega Terbang (bahkan juga mungkin penulis skrip cerita ini) jelas mempunyai kaedah dan sistem berfikir dalam persoalan ketuhanan yang tidak betul sehingga memungkinkan mereka mempunyai fahaman Pluralisme. Iaitu semua agama itu pada hakikatnya benar dan semua agama menyembah tuhan yang sama. Kononnya keluarga Aisyah sering kali cuba mencari agama mana yang paling benar. Ayah pada watak utama pula memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anaknya untuk ‘mencari kebenaran’ tanpa membekalkan ilmu dan kaedah berfikir yang tepat kepada anaknya.

Tema ‘reincarnation’ yang cuba dijual dalam filem ini secara halus ingin menunjukkan watak utama Aisyah akhirnya menerima agama yang membenarkan kelahiran semula sebagai agama yang paling benar.

Maka ini yang kita risaukan apabila memikirkan barangkali ribuan ‘Aisyah’ di luar sana yang menonton dan ‘trigger’ dengan cerita ini. Mungkin ada sebab watak utama ditampilkan sebegitu rupa. Adakah supaya lebih senang ‘appeal’ kepada remaja yang dalam fasa memberontak, masih mencari identiti dan dalam fasa perkembangan psikologi dan intelektual?

Timbul pula persoalan lain, adakah kita ingin mengatakan orang Malaysia tidak kuat akidah? Dengan filem dalam talian pun kita hendak takut? Adakah iman kita selemah dan senipis itu? Adakah tidak cukup belajar Pendidikan Islam dari darjah 1 hingga sekolah menengah?

Jawapannya, untuk bab dan persoalan akidah ini kita perlu tegas. ltu sahaja prinsipnya. Andai ada cubaan untuk mengganggu dan melemahkan jati diri umat Islam, maka kita kena pertahankan betul-betul.

Kalau nak dibuat perumpamaan, pertahankan aqidah ini sama seperti pertahankan pantai yang sedang dihakis.

Apabila awal-awal kita sudah dah mula nampak kesan hakisan pada pantai adakah kita ingin biarkan sahaja? Adakah kita hendak tunggu seluruh pantai hilang dihakis baru hendak dibina tebing? Sudah tentu tidak perlu.

Jika ada duit, ada tenaga, projek lulus, maka projek pemuliharaan pantai kena dibuat. Begitu juga akidah, jika kita sedar ada cubaan menghakis, adakah hendak tunggu orang murtad baru kita hendak bertegas? Maka kita kena pertahankan sedari awal. Kemaskan sistem pendidikan, hidupkan masyarakat dengan ilmu agama dan kukuhkan rakyat dengan sistem pertahanan akidah yang paling ulung iaitu ilmu.

Sebab itu, cadangan untuk memperkasakan sistem pendidikan Islam, cadangan untuk memperkukuhkan Institusi masjid dan kekeluargaan sentiasa dilaung dan diusahakan. Sebagai pertahanan umat daripada cabaran sebegini.

Andai pendidikan kita sudah kukuh, nescaya kita tidak risau pun dengan filem Mentega Terbang yang menghina intelektual ini. Tetapi, oleh sebab kita tahu sejauh mana keadaan umat sekarang, maka sebab itu kita sensitif dengan cubaan-cubaan provokatif sebegini.

Kita sendiri mungkin, alhamdulillah sudah kukuh dengan pasak akidah kita. Namun, bagaimana dengan ribuan ‘Aisyah’ di luar sana? Sanggupkah kita merisikokan mereka rosak akidah gara-gara kita memperlecehkan filem sebegini?

UTHMAN CHE AZIZ
Pengerusi SiswaPAS Selangor – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -