‘Santuni dan rasai denyut nadi rakyat’

- Advertisement -

SEPANGGAR: Dengan slogan ‘Kita Untuk Semua’, PAS Sepanggar terus melangkah ke hadapan dengan misi tarbiah, dakwah dan siasah.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertunya, Dr Aliakbar Gulasan, ‘Kita Untuk Semua’ mempunyai falsafah dan makna yang cukup penting.

“Kita merujuk kepada seluruh ahli PAS yang bergerak dengan agenda perjuangan suci dengan mengutamakan kebajikan, pendidikan, dakwah dan asas politik yang penuh integriti mestilah disebar luaskan supaya diterima serta difahami oleh masyarakat.

“Ahli PAS mesti turun kepada masyarakat, dengan menunjukkan agenda kebaikan yang kita bawa, santuni dan rasai denyut nadi rakyat,” katanya yang juga Setiausaha PAS Sabah ketika merasmikan Muktamar PAS Kawasan Sepanggar kali ke-13 di Hotel Has Kingfisher, di sini, kelmarin.

Beliau turut mengingatkan ahli agar mendidik masyarakat dengan ilmu dan budaya yang baik supaya tahap pemikiran dan sosioekonomi masyarakat khususnya di Sabah semakin meningkat.

Turut hadir barisan kepimpinan PAS Sepanggar, Aspar Akbar (timbalan YDP), Ruslan Durusi (naib), Ah Rizal Latif (Ketua Pemuda), Ummu Asma Abu (Ketua Muslimat) dan Ustaz Abu Azzam Arradhi (Ketua Ulamak).

PAS Sepanggar telah mengurniakan beberapa anugerah kepada ahli sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam gerak kerja parti.

Aspar menerima Anugerah Istiqamah kerana bergiat aktif dalam gerak kerja PAS sejak tahun 2010 dengan komited dan berterusan sehingga kini.

Anugerah Pemuda Harapan diberikan kepada Jefri Tahir, manakala Anugerah Muslimat Harapan kepada Shasha Nadirah Adam yang telah banyak membantu gerak kerja di peringkat negeri mahupun kawasan.

Selain itu, PAS Sepanggar turut mengurniakan Anugerah Khas YDP kepada Darma Yusuf dan Artini Arsyad atas komitmen yang sangat proaktif sama ada di peringkat nasional, negeri dan kawasan.

Turut menerima Anugerah Khas YDP iaitu badan bukan kerajaan (NGO) Kita Care dan Belia Kampung Likas sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -