KUALA LUMPUR: Sikap yang dipegang kebanyakan pekerja asing di Malaysia demi meneruskan kelangsungan hidup, dengan tidak berkira sangat mengenai soal pekerjaan yang dilakukan dikatakan telah mendapat tempat di hati kebanyakan majikan di Malaysia.
Penganalisis Sosio-ekonomi, Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan 380,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada 25 Feb lalu berkata, pihaknya telah melakukan pelan kelonggaran bagi memenuhi permintaan industri setelah menerima pemberitahuan daripada pihak Bank Negara agar memudahkan proses permohonan pekerja asing.
Mengulas lanjut Ahmad Fauzi berkata, sikap positif yang dimiliki oleh pekerja asing menjadi daya tarikan dalam kalangan ramai majikan di Malaysia kerana mereka tidak banyak karenah terhadap pekerjaan yang dilakukan.
“Pekerja-pekerja asing tidak berkira dalam soal upah atau gaji yang diperolehi dan mereka juga sanggup bekerja lebih masa berbanding pekerja tempatan.
“Kebanyakan mereka mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan Malaysia dalam sektor 3D (difficult, dirty and dangerous) atau dikenali sebagai sektor sukar, kotor dan berbahaya,” jelasnya kepada HarakahDaily.
Sektor berkemahiran tinggi
Namun begitu, ujar beliau, dalam sektor berkolar putih dan berkemahiran tinggi pula, didapati pekerja tempatan masih menguasai sektor berkenaan.
Hal ini kerana pengambilan pekerja di Malaysia adalah berdasarkan kepada kelayakan dalam aspek pendidikan dan keupayaan kemahiran tinggi serta penguasaan bahasa yang baik dalam sesuatu bidang pekerjaan yang akan dilakukan.
Menurut Ahmad Fauzi lagi, dalam satu kajian yang dilakukan sebelum ini menunjukkan bahawa ekonomi negara telah mewujudkan pasaran pekerjaan yang terbuka luas, yang mana permintaan yang tinggi terhadap pekerja separa mahir atau kemahiran yang rendah yang dikatakan masih tidak dapat dipenuhi oleh tenaga kerja tempatan.
Justeru, bagi memastikan ekonomi negara terus dipacu pesat, pengambilan skala besar pekerja asing perlu disegerakan.
“Contohnya, jika dilihat kepada sektor perladangan, ia sangat memerlukan lebih banyak tenaga pekerja asing.
“Pada peringkat asas ekonomi, soal upah sangat memberi kesan positif kepada perkembangan ekonomi dan majikan itu sendiri.
“Secara langsung, aliran ekonomi utama hiliran dan huluan akan dapat dilonjakkan dan membantu mempertingkatkan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia juga tidak boleh menafikan kebergantungan terhadap pekerja asing sahaja.
“Jika dilihat di negara Arab Saudi, didapati negara tersebut pada masa sekarang telah pun dilimpahi dengan ramai pekerja dari negara Bangladesh, Pakistan dan beberapa negara ketiga di rantau teluk itu.
“Amerika Syarikat pada masa kini telah pun berlaku lambakan penghijrahan pekerja asing dari Mexico serta beberapa negara dari Amerika Selatan,” katanya.
600,000 warga tempatan menganggur
Ahmad Fauzi turut memberitahu, risiko terhadap pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian, pembinaan dan pembuatan turut terjejas andainya pekerja asing disekat masuk untuk bekerja di Malaysia.
“Kalau kita lihat dalam satu kajian universiti awam, kemasukkan lebih ramai pekerja asing ke Malaysia sudah tentu berlakunya peningkatan pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan.
“Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada November 2022 melaporkan kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 3.6 peratus atau kira-kira seramai 600,000 orang yang tidak mempunyai pekerjaan,” jelas beliau.
Namun begitu, Ahmad Fauzi turut mempersoalkan adakah sektor-sektor 3D itu benar-benar mengalami masalah pengangguran yang memberi kesan kepada pekerja tempatan atau sebaliknya?
Atau adakah Malaysia dilihat terdesak untuk mendapatkan pekerja asing itu sendiri?
Beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil sekiranya dipersalahkan pengambilan pekerja asing ke Malaysia semata-mata atau menidakkan keupayaan pekerja tempatan itu sendiri.
“Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya perlu mengawal kemasukan pekerja asing serta membuka peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada pekerja tempatan.
“Kita seharusnya perlu memahami bahawa Malaysia ini merupakan sebuah negara yang mempunyai sektor ekonomi yang amat terbuka sifatnya.
Sudah tentu faktor tarikan kepada pekerja asing memjadi buruan kepada mereka. Umpamanya, nilai mata wang ringgit adalah tinggi jika dibandingkan dengan negara Bangladesh, Filipina mahu pun Indonesia,” katanya.
Namun begitu, pada waktu yang sama, ujar beliau, negara perlu memastikan lebih banyak kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.
“Menerusi FDI, ia telah memperlihatkan antara tempoh 2018 hingga 2021, jumlah FDI yang diluluskan bernilai RM392.9 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan,” jelasnya.
Oleh itu, katanya lagi, bagi memastikan setiap FDI itu dibawa masuk ke negara ini maka peluang penciptaan pekerjaan adalah tinggi dan berkualiti dalam kalangan majikan.
Dalam hal ini, beliau percaya memang ramai pekerja tempatan mempunyai keupayaan tinggi bagi memenuhi peluang pekerjaan yang banyak menerusi kemasukan FDI ini.
“Apa yang penting, kerajaan perlu memastikan syarikat asing membantu menyediakan peluang pekerjaan itu. Menerusi FDI juga, ia perlu memberi kesan positif kepada wilayah yang mundur,” ujar beliau.
Menurut Ahmad Fauzi, apabila sesuatu pelaburan di bawa masuk ke Malaysia, maka kawasan yang mundur dapat dimajukan sekaligus mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan pendapatan ekonomi baharu serta lebih banyak aktiviti hiliran ekonomi dapat dilonjakkan.
“Justeru,tidak timbul lagi isu pengangguran atau mundur dalam kalangan rakyat tempatan di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023