Kenderaan berat rosak jalan Pelabuhan Klang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jalan raya menuju ke kawasan sekitar Pelabuhan Klang yang rosak teruk akibat kenderaan berat seperti lori kontena memerlukan campur tangan kerajaan untuk diperbaiki.

Ini berikutan kerosakan yang berlaku menyebabkan kesesakan lalu lintas hingga berjam-jam membabitkan kenderaan menuju ke pelabuhan dan kawasan kilang.

- Advertisement -

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, perkara ini penting kerana Pelabuhan Klang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan kedudukan sebagai pelabuhan utama negara dan ke-12 tersibuk di dunia.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyatakan jumlah sebenar peruntukan dan kos penyelenggaraan jalan rosak.

“Timbalan Menteri (ketika menjawab soalan asal) berkata, kalau ada kelulusan daripada Menteri Kewangan dan sebagainya, jadi berapa yang perlu (untuk membaiki dan penyelenggaraan), berapa yang dapat (peruntukan yang diterima)?

“Jalan raya yang rosak menyebabkan bisnes terjejas dan juga kemalangan yang menyebabkan kematian,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan sedaya upaya mendapatkan peruntukan kerana kerja membaiki dan menyelenggara, termasuk kawasan Pelabuhan Klang Utara, membabitkan kos yang agak besar.

“Setakat ini, kita menyediakan peruntukan sebanyak RM16 juta bagi kerja-kerja berkala penurapan jalan, manakala kerja berkala bukan penurapan jalan sebanyak RM4.54 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 6//3/2023

- Advertisement -