Umno pasca PRU15: Suatu pemerhatian

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

Umno  buat kali pertama sejak merdeka tidak membentuk kerajaan setelah BN tewas pada PRU ke-14. Ketewasan di tangan PH itu menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden Umno sebagai memikul tanggungjawab.

Pada PRU ke-15, Umno kalah lebih besar. Namun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Presiden Umno, tidak meletak jawatan. Bahkan beliau menjadi semakin garang dengan ahli-ahli Umno. Bahkan beliau bertindak memecat dan menggantung sesiapa saja di kalangan pimpinan Umno yang cuba mengkritik beliau. 

Tak kiralah kritikan itu bersifat lantang atau hanya ‘suam-suam kuku’. Dan tak kiralah betapa besar jasa atau betapa hebat pengaruh pimpinan Umno yang mengkritik itu. 

Umno sekutu penting PMX 

Umno yang dikenali tegas dengan motto ‘No Anwar’ dan ‘No DAP’ semasa berkempen bagi PRU ke-15, tiba-tiba menjadi ‘tongkat hikmat’ kepada Anwar dan DAP.

Sokongan sebahagian Ahli Parlimen Umno kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri, berjaya dipatahkan dengan ‘kuasa penuh’ Zahid sebagai Presiden Umno. Jasa Zahid itu terlalu besar nilainya kepada Anwar kerana ia membolehkan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX) tidak lama selepas itu.

Zahid mendapat ganjaran segera yang sangat lumayan apabila dipilih oleh Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri 1, walaupun Umno hanya menang 26 kerusi sahaja dalam PRU ke-15.

Umno sekutu penting DAP di Perak dan Pahang 

Di peringkat DUN pula, Umno yang tidak memiliki majoriti dalam DUN Perak dan DUN Pahang, akhirnya memilih untuk bersama DAP bagi membentuk Kerajaan Negeri, tidak bersama PN.

Tentulah ini jasa Umno yang sangat besar kepada DAP. DAP Perak tidak berjaya mengalahkan Umno kerana tidak mendapat sokongan majoriti Melayu Islam. Tetapi DAP Perak tetap berjaya membentuk kerajaan di Perak bersama Umno. 

DAP menggunakan strategi pengurusan yang terkenal ‘If you can’t beat them, join them’. Umno pula menggunakan strategi Avengers dalam berdepan dengan PN ‘whatever it takes’.

DAP yang tidak pernah bermimpi akan membentuk Kerajaan di Negeri Pahang, akhirnya mendapat ‘bonus besar’ apabila berjaya membentuk Kerajaan Negeri Pahang bersama Umno selepas PRU ke-15.

Jawapan Presiden Umno 

Semua kejadian ini berlaku dengan sangat pantas. Ia mengundang seribu satu tanda tanya kepada ahli Umno. Umno bersama Anwar dan DAP?! Sangat sukar untuk dihadam oleh akar umbi Umno.

Tetapi Zahid memahamkan mereka isu kompleks ini dengan mudah sekali. Jelas beliau, ‘No Anwar’ dan ‘No DAP’ hanya strategi Umno untuk memasuki PRU ke-15. Selepas PRU strategi itu tidak terpakai lagi. 

Kelihatan kawan-kawan saya yang ‘kuat’ Umno terus berpuas hati dengan penjelasan Zahid yang hebat dan ‘out of the box’ itu. Mereka segera bertukar kepada pembela tegar PMX setelah itu. 

Zahid juga berhujah bahawa kerjasama dengan Anwar dan DAP tidak memudaratkan Umno kerana tak banyak kerusi Umno yang bertindih dengan PH. Tapi bekerjasama dengan PN merugikan Umno kerana sama-sama bertanding di kawasan majoriti Melayu, ‘malay belt’.

Jawapan Timbalan Presiden Umno 

Datuk Seri Mohamad Hasan pula ketika ditanya mengenai kerjasama dengan DAP, beliau menyatakan DAP ini berterus terang tidak bermuka-muka. Oleh itu, kerjasama dengan mereka adalah lebih baik daripada bekerjasama dengan PN.

‘Kemah keming’ jawapan beliau itu. ‘Terduduk’ semua pengkritik DAP dan Rafizi. Terlopong tak tahu nak ulas macam mana.

Hujahnya lagi, selama ini ketika Umno bertahan dengan prinsipnya tidak akan bekerjasama dengan DAP, Umno tetap mengalami defisit undi orang Melayu. 

Beliau membayangkan Umno tidak bimbang langsung dengan undi orang Melayu akan merosot semata-mata kerana Umno bekerjasama erat dengan DAP.

Era baru Parlimen Malaysia 

Dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung, DAP kelihatan tidak perlu banyak berhujah sama ada untuk membela diri atau mengenengahkan cadangan mereka.

Sidang kali ini menyaksikan DAP bukan saja hanya dibantu dengan suara kuat Ahli-ahli Parlimen PAN dan hujah back bencher PH yang lain, tetapi juga turut diperkuatkan oleh ‘team mate’ baru mereka, iaitu Umno dan BN.

PN nampaknya terpaksa berhadapan dengan pasukan bersekutu yang merupakan gabungan hampir segala parti di negara kita. Setakat ini PN masih sangat ‘steady’ di Parlimen.

Objektif pasukan bersekutu ini satu saja, cuba menghalang kemaraan ‘Tsunami Hijau’. Persoalannya, pernahkah ada sesiapa yang pernah berjaya menghalang ombak tsunami?!

Penutup   

Ketika Umno semakin lemah, ia tidak memilih untuk memulihkan semula sokongan rakyat dengan kembali kepada asas perjuangan dan penubuhannya. Iaitu menjadi parti tunggak dalam membela hak dan memartabatkan kedudukan orang Melayu Islam dan bumiputera dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan bidang-bidang strategik yang lain.

Umno nampaknya lebih rela memilih untuk bersama Anwar, PH dan DAP hanya kerana ia membolehkan mereka mendapat sekelumit kuasa. Walaupun mereka pada hakikatnya akan terpaksa memberikan diskaun besar kepada agenda orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi teras perjuangan mereka selama ini.

Maklumlah bukan senang nak merundingkan agenda orang Melayu Islam dengan Ramasamy dan DAP ketika mereka kuat dan Umno sedang lemah. 

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang
4 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 4/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -