Peranan ekonomi digital dalam melestari perkembangan ekonomi negara

- Advertisement -

FORUM Ekonomi Dunia 2019 (World Economic Forum 2019) menggagaskan peranan platform digital dan ekosistem dalam membentuk Ekonomi Digital dan masyarakat. Selari dengan kecanggihan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pertumbuhan platform dan ekosistem yang berorientasikan digital telah melonjak perubahan ekonomi dari pelbagai sudut di peringkat makro dan mikro yang memberi kesan terhadap model komersial, kewangan, pekerjaan dan sektor perkhidmatan.

- Advertisement -

Asas kepada perubahan ini bermula ketika Pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 yang menjadi projek rintis ke arah transformasi negara berasaskan digital. Sehingga tahun 2018, ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus atau RM267.7 bilion kepada KDNK dan terus meningkat kepada RM289 bilion atau 19.1 peratus kepada KDNK pada tahun 2019. Pada tahun 2020, ekonomi digital terus memberi sumbangan yang siginifikan dengan menyumbang 22.6 peratus daripada KDNK negara. Pandemik Covid-19 antara faktor pemangkin yang mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital sehingga mendorong kebanyakan peniaga dan pengguna beralih dari sistem tradisional kepada sistem yang berorientasikan platform digital.

Selari dengan aspirasi mantan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang berpaksikan pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) diasaskan dan berperanan dalam membantu rakyat menguasai teknologi bagi meningkatkan kualiti serta taraf hidup rakyat. MyDIGITAL disasarkan menyumbang 25.5 V kepada KDNK menjelang tahun 2025.

Peningkatan Pengguna di Platform E-Dagang dan Atas Talian

Kekuatan ekonomi digital boleh dilihat pada trend peningkatan pengguna internet yang cenderung menggunakan platform e-dagang dan perbankan secara atas talian bagi memudahkan proses transaksi serta melancarkan urusan harian. Kaji selidik yang dilaksanakan oleh PwC di beberapa negara pada tahun 2019 menunjukkan bahawa 31 peratus responden membeli barangan secara atas talian setiap minggu atau lebih kerap, manakala 51 peratus responden membayar bil dan invois melalui dalam talian pada tahun 2018. Urus niaga yang lebih cepat dan efisien ini memberi faktor penarik kepada pengguna untuk menjadikan platform digital sebagai pilihan utama.

Negara Asia merupakan rantau yang paling pesat berkembang di dunia dalam pasaran internet dengan kehadiran 125,000 pengguna baharu setiap hari. Ekonomi digital di rantau ini dijangka berkembang dengan ketara dan menambah anggaran $1 trillion kepada KDNK serantau dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Pelaburan Malaysia dalam memanfaatkan ekonomi digital supaya menjadi lebih inklusif, cekap dan inovatif seiring dengan halatuju negara bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Merancakkan Ekonomi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)

Darren Smith, pengasas dan CEO platform digital Traipse di Amerika Syarikat berpendapat matlamat penubuhan platform digital adalah membina ekosistem baru yang dapat membantu menjana semula ekonomi tempatan dan hiliran serta mewujudkan sistem sokongan kepada ekosistem yang pelbagai dalam sektor awam dan swasta. Platform e-dagang secara atas talian seperti Shopee, Lazada, Amazon, Alibaba terbukti merancakkan industri perdagangan dan membantu ekonomi usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk memasarkan produk mereka di peringkat global. Malaysia muncul di tempat ketiga di Asia Tenggara bagi penembusan e-dagang dalam kalangan individu menurut laporan We Are Social Digital 2019. 4 daripada 10 transaksi melalui platform e-dagang melibatkan perbelanjaan rentas sempadan.

Platform e-dagang mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 26.5 peratus dengan pendapatan perniagaan e-dagang melonjak 17.1 peratus pada suku ketiga 2021, berjumlah RM279 bilion seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, mantan Menteri Ekonomi sebelum ini. Zon Perdagangan Bebas Digital yang telah dilancarkan pada tahun 2017 membuka peluang kepada usahawan PMKS memasarkan produk mereka merentasi sempadan dan memperluas jaringan akses kepada pasaran global.

Kewujudan Peluang Pekerjaan Berkemahiran Digital

Ekosistem ekonomi berasaskan digital memberi limpahan manfaat kepada golongan graduan dan belia dengan kewujudan peluang pekerjaan baharu yang berasaskan kemahiran digital seperti pembangun aplikasi mudah alih (Apps Developer), saintis data (Data Scientist), dan pakar komuniti dalam rangkaian sosial. Namun, rakyat mendepani cabaran dalam memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi kekal relevan dengan situasi semasa.

World Economic Forum (WEF) menganggarkan 75 juta pekerjaan di seluruh dunia akan digantikan oleh teknologi digital pada tahun 2022. Individu yang kompeten dan menguasai teknologi digital mempunyai kelebihan dalam pasaran dan mampu berdaya tahan dengan perkembangan teknologi digital di peringkat global. Menjelang tahun 2025, MyDIGITAL mensasarkan 500,000 pekerjaan baharu diwujudkan dengan RM70 bilion pelaburan dalam pendigitalan. Bagi mencapai hasrat ini, latihan kemahiran dan pembangunan bakat digital perlu diperi penekanan di peringkat yang lebih awalbagi memenuhi pasaran kerja yang dinamik sifatnya.

Pertumbuhan Ekonomi Gig dan Syarikat Pemula (Startup Company)

Perubahan dalam pasaran kerja memberi impak yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi gig dan Syarikat Pemula (Startup Company). Dapatan kajian daripada Zurich Insurance Group and Oxford University menunjukkan 4 daripada 10 rakyat Malaysia menyertai ekonomi gig sebagai pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pengangkutan ad-hoc selepas berhenti daripada pekerjaan sepenuh masa (sebelum Covid-19). Ruang masa yang fleksibel serta kemudahan teknologi yang ditawarkan menjadi daya penarik kepada perkembangan industri ini di Malaysia.

Model ekonomi gig membolehkan penyertaan rakyat secara inklusif dan berpotensi menjadi penyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sehingga 2021, saiz pasaran keseluruhan bagi industri ini di Malaysia dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM1.61 bilion, memanfaatkan 1.12 juta individu yang menyertainya sebagai menjana pendapatan utama mahupun secara sampingan.

Unjuran pertumbuhan platform tempatan Ekonomi Gig ini dianggarkan terus berkembang daripada kirakira RM371.4 juta pada 2021 kepada sekurang-kurangnya RM650 juta pada 2025. Selari dengan Revolusi Industri Keempat, Syarikat Pemula diiktiraf dunia sebagai pemacu ekonomi dengan nilai keseluruhan di dunia mencecah RM12.8 trilion (USD 3 trilion). Grab dan Carsome antara produk syarikat pemula kelahiran tempatan berstatus unikorn yang mempunyai nilai lebih daripada $AS1 bilion.

Malaysia menduduki tangga ketiga di Asia Tenggara bagi kategori bilangan syarikat pemula dengan jumlah sekitar 800-1200 syarikat (mengikut populasi) dianggarkan bernilai mencecah USD100 juta. Syarikat pemula ini berpotensi menjana ekonomi dan menyumbang kepada KDNK negara jika dikembangkan dan diberi perhatian yang sewajarnya.

MyDIGITAL Manfaat Untuk Semua

Pendigitalan dalam semua aspek kehidupan memberi manfaat kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik, latarbelakang agama serta taraf ekonomi individu. Inisiatif MyDIGITAL dalam melestari pertumbuhan ekonomi negara perlu disokong dengan infrastruktur dan persekitaran digital yang mapan agar semua golongan berpeluang menikmati kualiti dan taraf hidup yang lebih baik. Tadbir urus yang lebih cekap dan telus serta kerjasama yang kukuh antara sektor awam-swasta dapat memaksimumkan impak positif ekonomi digital kepada industri dan masyarakat.

SHAARIE KHALID
Penyelidik YSL
Portfolio Kewangan, Ekonomi dan Kos Sara Hidup – HARAKAHDAILY 4/3/2023

- Advertisement -