Kerajaan madani perlu tinggalkan politik dendam

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

BELANJAWAN yang diumumkan ini memperuntukkan perbelanjaan kerajaan terbesar dalam sejarah negara iaitu peningkatan RM56 bilion berbanding RM332.1 bilion pada tahun 2022.

- Advertisement -

Saya senada dengan pandangan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain bahawa belanjawan ini mestilah bersifat rentas kaum mahupun parti. Kerajaan bertanggungjawab terhadap seluruh rakyat di negara ini tanpa ada batasan kepartian, kaum dan sebagainya. Malah perlu untuk ditegaskan juga bahawa sewajarnya tiada diskriminasi kepada mana-mana pihak terutamanya kepada pihak oposisi kerana kami juga mempunyai rakyat yang perlu dijaga.

Lima prinsip asas dalam Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu sentiasa diberikan perhatian termasuklah dalam konteks pembentangan belanjawan negara. Ia perlu dalam kerangka yang strategik agar kebaikan dan manfaatnya dapat dirasai oleh setiap warganegara.

Tadbir urus berteraskan maqasid syariah ini akan melestarikan kesejahteraan kehidupan semua warganegara serta menyantuni permasalahan yang timbul melalui tonggak kepimpinan yang berintegriti bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak, berilmu dan bersatu padu. Dengan demikian, Kerajaan Madani perlu menelusuri nilai Maqasid Syariah ini dengan memastikan semua rakyat terbela nasibnya di seluruh negeri.

Ini memberi makna hubungan antara negeri dan Persekutuan perlu diperbaiki terutamanya negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Tidak sepatutnya hak projek Kedah Aerotropolis di negeri Kedah dan royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu dinafikan sedangkan ia untuk rakyat. Politik, dendam dan menafikan hak perlu ditinggalkan oleh Kerajaan Madani.

Dengan itu, masa yang terhad, saya akan cuba untuk mengemukakan beberapa pandangan dan soalan yang perlu diambil perhatian dan penelitian oleh pihak kerajaan. Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan pelaksanaan keselamatan makanan di Malaysia. Salah satu daripada pelan tindakan yang diletakkan kerajaan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 di bawah subsektor padi dan beras adalah menggalakkan pengurusan guna tanah yang akan memperluas operasi persawahan.

Pelan tindakan yang dinyatakan ini merupakan tunjang utama ke arah mencapai sasaran 75 peratus tahap sara diri padi dan beras negara menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030. Jika tiada usaha mengekalkan penggunaan tanah sawah, sudah tentu segala perancangan ke arah menjamin keselamatan makanan tidak dapat direalisasikan. Ia juga bakal menjejas nilai maqasid syariah penjagaan nyawa itu sendiri. Oleh itu, Kedah memohon supaya pampasan padi diberikan secara setimpal dengan kos melepas, opportunity cost, dengan izin.

Jika tanah sawah padi negeri ini ditukar kepada tanah komersial, nilai kutipan cukai tanah yang diperoleh adalah RM1.7 bilion. Permohonan ini mengambil kira 10 peratus daripada kos melepas RM1.7 bilion tadi, iaitu sekitar RM170 juta sahaja. Tambahan juga, kawasan tadahan hujan Ulu Muda seperti mana tanah sawah padi perlu dilindungi daripada pembalakan dan pembangunan kerana merupakan kawasan punca sungai empangan, yang membekalkan 90 peratus bekalan air di Kedah, 80 peratus kepada Pulau Pinang dan 70 peratus kepada Perlis untuk pengairan sawah padi, sumber air bersih dan sebagainya.

Seramai 4.2 juta orang yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada air mentah dari Ulu Muda. Dengan itu, Kedah memohon agar Kerajaan Persekutuan dapat memberi pampasan yang munasabah, sejumlah RM100 juta bagi memulihara hutan hujan di Ulu Muda sepenuhnya secara kekal. Perkara ini berasas untuk pengorbanan Kedah bagi mengekalkan kawasan hutan dan menyebabkan kehilangan hasil yang agak tinggi demi negeri Pulau Pinang dan Perlis. Mohon respons kementerian.

Pendidikan merupakan nadi utama yang menyokong tiang seri pembangunan negara. Kerajaan hari ini mengambil langkah meneruskan tekad kerajaan- kerajaan sebelumnya, dengan Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2023. Saya ingin menyentuh berkenaan sistem pendidikan STEM yang bertunjangkan integrasi empat bidang utama iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Ia merupakan agenda teras yang turut ditekankan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Daripada data Pusat STEM Negara menunjukkan bahawa pada tahun 2022, jumlah pelajar bidang STEM adalah pada kadar 47 peratus. Untuk menampung peningkatan jumlah pelajar bidang STEM ini, saya ingin bertanya kepada kementerian. Adakah terdapat perancangan untuk memperkukuh bidang pengajian STEM di sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri?

Pihak kementerian perlu ada kolaborasi dengan agensi seperti JAKIM dan bahagian pendidikan negeri bagi memastikan pelaksanaan bidang pengajian STEM dapat direalisasikan untuk kebaikan murid sekolah agama. Pengimplimentasian pendidikan STEM dalam sistem pendidikan sekolah agama seiring dengan misi falsafah pendidikan negara. Dalam usaha membangunkan insan yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Oleh sebab itu, saya melihat selain pendidikan TVET dan tahfiz, pendidikan STEM kepada sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri ini perlu diberikan tumpuan oleh pihak kementerian.

Selain itu, saya ingin bertanya peratus sekolah yang masih bermasalah dari segi prasarana untuk melaksanakan pendidikan STEM ini? Mengintegrasikan kemahiran dan aktiviti secara praktikal adalah cara berkesan meningkatkan minat dan pencapaian murid. Kekurangan, kekangan yang ada menyebabkan pembelajaran minat selain peningkatan keupayaan potensi pelajar terjejas.

Bagi manusia yang berakal dan cuba memanfaatkan kehidupan, maka sudah tentu ilmu dan pendidikan digunakan dengan cara yg terbaik, serta kemudahan pelajar yang tersedia dan terbentang ini tidak disia-siakan. Golongan sasar M40 tidak seharusnya dikesampingkan daripada tumpuan kerajaan.

Berdasarkan data dari Bank Negara Malaysia pada tahun 2019, pendapatan bersih golongan ini berada pada paras RM1,127 dan situasi pasca pandemik ini sudah tentu mendorong ramai dalam kalangan mereka yang tergelincir ke bawah paras kemiskinan. Oleh sebab itu, saya berpandangan, intervensi kerajaan perlu konsisten terhadap mereka supaya kita dapat memastikan satu dasar yang soft landing dalam soal bantuan survival golongan ini, khususnya, pada era pascapandemik.

Soalan saya yang pertama, ada disebutkan tentang semakan semula cukai pendapatan individu. Persoalannya, adakah semakan pemotongan cukai pendapatan individu ini akan mengambil kira peningkatan inflasi semasa serta peningkatan semasa OPR? Saya berpandangan semakan terhadap potongan cukai ini juga sangat mustahak bagi menyeimbangkan peningkatan OPR dan pembayaran komitmen bulanan yang ditanggung mereka selama ini melibatkan pendapatan yang boleh guna golongan ini.

Kedua, apa perancangan kementerian terhadap Program Pengekalan Pekerjaan khususnya melibatkan subsidi upah, sistem insurans pekerjaan dan sebagainya kepada golongan M40? Ini juga wajar diteliti supaya golongan ini dapat terus kekal dalam sektor pekerjaan bagi menampung kehidupan seharian.

Ketiga, saya ingin juga tahu strategi kementerian bagi memastikan golongan M40 dapat keluar daripada kelompok insiden kemiskinan tinggi, terutamanya dalam mendepani fasa pengukuhan ekonomi. Adakah ada strategi jangka panjang yang lebih bersasar mengenai perkara ini? Mohon penjelasan kementerian.

Seterusnya, saya ingin membangkitkan berkenaan perumahan mampu milik. Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa terdapat lebih 34,000 buah kediaman tidak terjual, siap dibina bernilai RM21.7 bilion yang dicatatkan dalam separuh masa pertama 2022. Ketidakpadanan pendapatan dengan harga rumah mampu milik yang ditawarkan menyebabkan angka tidak terjual ini melonjak secara signifikan. Bayaran bulanan agak tinggi tambahan dengan kos sara hidup yang kini semakin meningkat menjadi faktor tambahan terhadap polemik yang melanda.

Saya berpandangan ia adalah satu isu lama yang masih membelenggu sektor perumahan negara pada hari ini. Jadi, kemungkinan fokus utama golongan B40 dan M40 ini adalah mengenai kelangsungan hidup berbanding memiliki rumah. Rumah yang asalnya mampu milik telah bertukar menjadi hanya mampu tengok. Berdasarkan tiga strategi yang dirangka dalam RMKe-12, menambah baik akses kepada rumah mampu milik, mempertingkatkan tadbir urus, dan memastikan perumahan inklusif.

Walaupun kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion secara langsung untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mampu milik, namun pendapatan dan kewangan rakyat khusus B40 dan M40 masih tidak membolehkan mereka membeli rumah. Oleh itu, saya ingin maklum balas pihak kementerian model pembiayaan, i-Biaya yang telah diperkenalkan sebelum ini. Apakah ada syor terkini bagi mengatasi isu perumahan mampu milik, khususnya bagi golongan sasaran?

Saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa banjir yang terkesan akibat banjir beberapa hari kebelakangan ini. Pada 23 Februari 2023 juga, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2022 yang menyatakan nilai kerugian banjir di Malaysia. Kedah menduduki tempat yang keempat dalam mencatatkan RM30.8 juta kerugian akibat bencana banjir. Kerugian keseluruhan pula dianggarkan sebanyak RM622.4 juta.

Sudah tentu kita tidak mampu untuk mengubah takdir Allah SWT yang menurunkan hujan. Namun, kita masih boleh berusaha untuk memastikan kurang mudarat yang menimpa rakyat. Oleh itu, saya ingin membangkitkan persoalan sejauh manakah komitmen kerajaan terhadap Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMKe-12, dalam usaha meminimumkan kesan bencana banjir, khususnya di negeri Kedah?

Bilakah jangkaan projek ini akan diselesaikan? Dalam soal ini, saya juga ingin menarik perhatian kerajaan mengenai Parlimen Kuala Kedah yang rata-ratanya adalah sawah padi. Di sana, perlu adanya pelan kontingensi yang efektif, jika berlaku air pasang yang mendorong limpahan air masuk ke dalam tanaman sawah. Tanpa penyelesaian terhadap pembinaan tambatan banjir dikhuatiri akan turut memberi kesan besar terhadap keterjaminan makanan padi dan beras negara. Mohon pandangan kementerian.

Saya ingin melanjutkan isu di Kuala Kedah iaitu berkenaan dengan air pasang besar yang berlaku kepada rakyat di pekan Kuala Kedah. Keadaan air yang naik mencecah 2.95 meter sehingga melimpah ke beberapa buah kawasan pada November tahun lalu amat membimbangkan masyarakat sekitar.

Saya ingin membangkitkan, apakah langkah kerajaan mengurangkan risiko limpahan air pasang besar yang sering melanda Parlimen Kuala Kedah? Seperti sedia maklum, masalah ini tercetus akibat daripada paras air laut yang meningkat sehingga membawa kepada limpahan air dari benteng.

Oleh itu, saya mengharapkan agar perkara ini mendapat perhatian khusus kementerian dan agensi yang bertanggungjawab. Implikasi besar serta kerosakan lain yang ditanggung oleh rakyat di Parlimen Kuala Kedah saban tahun perlu ditangani dengan segera. Semoga persoalan dan cadangan yang dikemukakan ini mendapat perhatian dan jawapan daripada kerajaan demi kebaikan rakyat.

Orang Kedah timbang neraca,
Adil saksama ingin balasan;
Selesai sudah bajet dibaca,
Moga dijawab setiap perbahasan.
– HARAKAHDAILY 4/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi semasa membahaskan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat, 2 Mac 2023.

- Advertisement -