Bimbang PM laksana agenda tertangguh PH 22 bulan

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

Saya mulakan ucapan pada kali ini dengan memetik sepotong ayat (maksudnya): “Kami ceritakan kepada mu wahai Muhammad, seindah-indah kisah dalam kami wahyukan kepada mu Al-Quran ini padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya”.

- Advertisement -

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas kejayaan menyediakan sebuah Belanjawan Tahun 2023. Belanjawan 2023 adalah pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Sejak beberapa bulan lepas, akhirnya rakyat mendengar Bajet 2023. Namun bahasa jargon yang tidak mesra rakyat sedikit sebanyak mewujudkan kesenjangan bahasa antara pemimpin dan rakyat.

Frasa yang digunakan oleh Yang Amat Berhormat Tambun begitu kayangan sehingga sukar untuk dicerakinkan sama ada perbahasan bajet ataupun kuliah sastera yang sedap didengar oleh golongan tertentu.

Sedikit review ringkas, pertama perbahasan dimulakan dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang dijangka positif walaupun berlaku inflasi pada harga komoditi yang disebabkan gangguan rantaian global dalam negara. Kedua, Perdana Menteri mendedahkan ketirisan berjumlah RM3 bilion dan berikrar untuk memerangi rasuah. Ketiga, angka hutang negara yang tinggi seperti ingin menakut-nakutkan pelabur dan juga rakyat.

Saya rangkumkan bahawa pembukaan bajet kali ini sungguh menakutkan. Seolah-olah Kerajaan PN satu-satunya yang mewariskan hutang RM1.2 trilion. Mari saya ingatkan kepada kerajaan yang dikatakan Madani ini tentang siaran media bertarikh 30 September 2019.

Setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2019, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan dan ia mengesahkan bahawa hutang dan liabiliti kerajaan sehingga tahun 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion. Ini juga bukti bahawa PN sebuah kerajaan yang mewarisi hutang yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan.

Namun, tugas kita di sini bukan mahu menyuburkan dendam politik, sebaliknya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, kita harus move on dan moving forward untuk melaksanakan isu-isu rakyat.

Jaminan ekuiti bumiputera pada Belanjawan 2023, Yang Amat Berhormat Tambun telah menyatakan agensi kerajaan seperti Tabung Haji, FELDA dan FELCRA hendaklah kembali mengutamakan fungsi penubuhan mereka. Ini juga termasuk mengkaji semula syarikat subsidiari yang merugikan seperti agen pelancongan, pengawal keselamatan dan juga teknologi maklumat.

Soalan ini sangat memberi satu gambaran yang terlalu subjektif. Kalau dalam fasa pemerintahan Perikatan Nasional, ketika mentadbir negara bagi mengukuhkan kedudukan portfolio Tabung Haji secara khususnya, Kerajaan PN dari semasa ke semasa memastikan melaksanakan kajian ke atas pasaran hartanah tempatan dengan mengambil kira beberapa faktor utama seperti jaminan pulangan pelaburan jangka panjang, kadar permintaan dan penawaran serta penilaian hartanah semasa.

Hasilnya Lembaga Tabung Haji pada zaman Perikatan Nasional mencatatkan pendapatan RM1.47 bilion bagi tempoh separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion iaitu paras tertinggi semenjak penubuhannya selama 59 tahun yang lalu.

Tabung Haji Plantation juga menunjukkan peningkatan prestasi yang baik pada kewangan tahun 2021 berbanding 2020. Ini dapat dilihat daripada peningkatan pendapatan sebanyak 37 peratus daripada RM555 juta kepada RM761 juta. Keuntungan sebelum cukai, THP juga telah melonjak sebanyak 150 peratus, iaitu daripada RM54 juta kepada RM138 juta.

Prestasi kumpulan THP terus cemerlang pada separuh pertama tahun 2022 di mana pendapatannya meningkat 46 peratus berbanding separuh pertama tahun 2021.

Ini termasuk keputusan untuk membatalkan penjualan 14 buah anak syarikat Tabung Haji Plantation yang memiliki kawasan ladang sejumlah 76,957 hektar yang mewakili 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ladang-ladang yang dimiliki oleh Tabung Haji Plantation yang dibuat pada zaman Yang Berhormat Pagoh dan diteruskan pada zaman Yang Berhormat Bera sebagai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Kita batalkan usaha-usaha penjualan ini sehinggakan bukan sahaja kita mencatat keuntungan dengan memulihkan (rehab) ladang-ladang itu, bahkan ia menyumbang kepada peningkatan pembayaran pengagihan keuntungan kepada pendeposit yang meningkat berbanding dengan zaman Pakatan Harapan mentadbir.

Jadi dalam isu Tabung Haji, kerajaan tidak sepatutnya mengambil keputusan untuk menjual sewenang-wenangnya aset-aset melainkan melaksanakan kajian dan langkah-langkah strategik. Ini umpama kita jual angsa, manakah lagi kita hendak dapat telurnya?

Kalau Yang Berhormat Pagoh dan diteruskan oleh Yang Berhormat Bera tidak membatalkan penjualan 76,000 hektar ladang yang sudah pun diluluskan perancangannya dan sudah ada diluluskan penjualannya pun dibatalkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada waktu itu dengan usaha daripada Yang Berhormat Pagoh dan juga Yang Berhormat Bera yang sangat kuat mempertahankan supaya ladang-ladang ini tidak dijual.

Saya bimbang ucapan Perdana Menteri ini sebagai back door untuk melaksanakan agenda tertangguh Kerajaan Pakatan Harapan pada 22 bulan yang tidak sempat dilaksanakan. Jangan ingat lebai-lebai yang berada di Tabung Haji itu hanya boleh buat bisness haji dan umrah, sebagaimana Yang Berhormat Pandan yang selalu menyindir lebai-lebai. Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir. Menjadi lebai mentadbir Kelantan, Tok Guru Nik Aziz, 23 tahun tidak ada berlaku ketirisan walaupun tiada formula-formula yang ajaib dan luar biasa. Kami adalah lebai legislator. Lebai yang takut kepada Allah SWT.

Isu yang saya hendak sebutkan juga di sini ialah Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang sangat berjasa kepada Yang Amat Berhormat Tambun. Yang Amat Berhormat Tambun kalau tidak kerana diampuni perkenan untuk dibebaskan, maka Yang Amat Berhormat Tambun tidak akan sampai ke sini pada hari ini. Siapakah yang bertanggungjawab? Sultan Kelantan yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu. Sultan inilah bertitah dalam Sidang DUN pada 16 Jun 2013, ‘Beta juga berharap agar penyelesaian isu tuntutan bayaran tunai petroleum dapat diselesaikan mengikut perjanjian yang telah ditandatangani’.

Demikian juga di Istiadat Perasmian Pembukaan DUN Kelantan pada Mac 2012, Baginda Tuanku juga bertitah, ‘Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan Zon Industri Petroleum di Pantai Bachok seluas 4000 ekar semenjak 1990 lagi’.

Semuanya ini berlaku pada zaman Yang Amat Berhormat Tambun dahulu menjadi Menteri Kewangan. Sepatutnya kawasan joint-development area dengan izin Tuan Yang di- Pertua, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand yang jaraknya dengan Pantai Bachok hanya 140 kilometer. Akan tetapi, keputusan kerajaan yang Yang Amat Berhormat Tambun pada 1996 sebagai Menteri Kewangan telah melarikan pendaratan gas ini ke Songkhla, Thailand jaraknya 230 kilometer.

Kalau kata hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu mana ada di Songkhla Thailand? Kalau kata hendak menghapuskan miskin tegar, menoktahkan miskin tegar maka, sepatutnya minyak itu didaratkan di Pantai Bachok di negeri Kelantan kerana ia boleh memacu industri hiliran. Jajaran jalan, kedai-kedai dan tanah, value nya akan meningkat apabila adanya pendaratan gas dan petroleum di situ. Akan tetapi semuanya ini kerana tangan Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Menteri Kewangan pada waktu itu, didaratkan di Thailand. Hasil daripada lima percent daripada GDA ini berjumlah RM3 bilion setahun, satu sen pun tidak diberikan peruntukannya sebagaimana perjanjian yang ada pada 1975.

Negara Malaysia kaya dengan hasil bumi termasuklah petroleum. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia melalui Akta Perlombongan Petroleum 1966 telah menubuhkan PETRONAS sebagai sebuah badan atau syarikat yang akan bertindak menguruskan segala eksplorasi dan eksploitasi petroleum. Sehingga dibuatkan perjanjian. Kalau Kelantan tidak layak dapat lima percent daripada royalti, mengapakah PETRONAS selepas adanya akta ini membuat perjanjian dengan Kerajaan Kelantan? Baik begitu tidak payah buat perjanjian.

Oleh sebab itu, saya tidak hendak pergi kepada detil ini, kita telah mengulangi tekad. Yang Berhormat Pagoh telah mengulangi tekad pada 20 Oktober yang lalu untuk kita terus membayar lima peratus sebagaimana dalam perjanjian sekiranya berkuasa di peringkat Putrajaya.

Saya mengingatkan kepada pihak kerajaan supaya jangan banyak berdolak-dalik dalam isu ini. Kalau hendak bagi ada 1,000 jalan, kalau tidak hendak bagi ada 1,000 dalih yang boleh diberikan. Kita ingat kepada ayat yang disebut, [maksudnya): “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup”. Ambil royalti untuk Kerajaan Federal cukup tetapi bukan sahaja kurangkan timbangan untuk Kelantan bahkan, dinafikan dan terus dinafikan saban hari.

Saya mengingatkan kepada apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW (maksudnya) mana-mana pemimpin yang menguruskan hak orang Islam (Kelantan sebagai negeri Malay back yang orang Islam nya ramai, bumiputera Melayu nya ramai) tiba-tiba dia mati dalam keadaan menipu dan menzalimi mereka itu, Allah haramkan syurga kepada kepadanya.

Yakni berlapang dada dan bermurah hati ketika membayar hutang yang menjadi kewajipannya, ia tidak menunda-nunda, tidak mengelak dari pelbagai hak yang menjadi kewajipannya tetapi ia membayarnya.

Saya mengingatkan Yang Amat Berhormat Tambun kepada jasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang telah mengampunkan dia sehingga dia boleh berada di sini. Kalau tidak pengampunan Yang Amat Berhormat Tambun tidak akan ada di sini.

Saya hendak gulung, akhirnya dengan pantun.

Tuan Nik Mat, Tuan Guru,
Kota Masai Masjid Tanah,
Jangan khianati Titah Tuanku,
Sial sampai ke lubang tanah.

Ini yang terakhir. Belanjawan negara ini, dahulu sewaktu PRU15, PH berkempen akan memperjuangkan isu-isu rakyat. Bajet kali ini Yang Amat Berhormat Tambun sendiri berjanji untuk menoktahkan kemiskinan dengan mempersembahkan kisah Nabi Yusuf A.S sebagai mukadimah. Nabi Yusuf A.S tidak pernah mengajar rakyatnya dan beliau sendiri tidak pernah menganiayai dan menzalimi rakyatnya terutama di bawah pemerintahannya.

Matahari terbenam Tanjung Aru,
Air pasang di Tanjung Bidara,
Bentang bajet sudah celaru,
Mana mungkin tadbir negara.

Dari Tenggara ke Selat Tebrau,
Sejuk embun di subuh hari,
Urus negara jadi kacau,
Eloklah Tambun mengundur diri.
– HARAKAHDAILY 4/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary semasa membahaskan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat, 2 Mac 2023.

- Advertisement -