Bajet 2023: Berjayakah kerajaan ‘revive’ sektor pertanian negara?

Foto hiasan.
- Advertisement -

MENJELANG bulan Ramadan dan Syawal yang semakin hampir, wujudnya kerisauan tentang bagaimana ingin mengurus perbelanjaan bagi membeli kelengkapan isi rumah dan bekalan makanan mencukupi dan berpatutan bagi menyambut ketibaan Syawal yang biasanya disambut meriah oleh majoriti umat Islam di seluruh negara.

- Advertisement -

Penganalisis Ekonomi, Dr Anuar Shah Bali Mohamed menyebutkan bahawa sekarang kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan tsunami ekonomi dunia disebabkan oleh kenaikan harga yang luar biasa daripada pelbagai jenis barang termasuk barangan keperluan harian.

Persoalan timbul sejauh mana persediaan kerajaan bagi menyelesaikan masalah kos dan stok bahan makanan secara holistik di samping memberikan galakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyelesaian masalah rantaian nilai makanan kepada pengguna.

Bulan Februari yang lalu telah berlaku peningkatan harga sayur-sayuran sehingga 160 peratus. Hasil pemeriksaan awal oleh Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam mendapati bahawa faktor peningkatan harga sayur-sayuran adalah kerana musim monsun, kenaikan kos input seperti baja, benih dan racun yang diimport, serta kos perkapalan.

24 Februari yang lalu, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM20 bilion bagi pelbagai projek jaminan sekuriti makanan antaranya melalui pelaburan di dalam projek sekuriti makanan sebanyak RM1.3 bilion, Tabung Pusingan Koperasi bagi pembekalan barangan keperluan asas dan lain-lain sebanyak RM100 juta, program peningkatan produktiviti dan kemudahan nelayan sebanyak RM18.3 juta dan Program Pembangunan Semula Hasil Baharu sebanyak RM40 juta.

Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk meneruskan program community drumming sebanyak RM225 juta yang membantu menampung kos logistik di luar bandar, pengurusan teknologi tepat dan kelestarian pertanian sebanyak RM9.4 juta, menaik taraf pengairan dan saliran sebanyak RM126.8 juta, serta projek pertanian mampan menggunakan baja organik sebanyak RM5 juta.

Namun, di sini seolah-olah masih tidak jelas prioriti kerajaan terhadap langkah untuk meningkatkan keupayaan sara diri (SSR) bagi bidang ternakan untuk keperluan domestik dan kita mempersoalkan sejauh mana persediaan kita bagi menghadapi kebarangkalian krisis ekonomi yang dijangkakan berlaku akan datang seperti cadangan mewujudkan bank bahan makanan keperluan asas di seluruh negeri.

Bagi sektor perikanan pula, pastinya para nelayan ternanti-nanti apakah inisiatif kerajaan bagi meningkatkan hasil tangkapan laut dan langkah bagi membasmi kehilangan hasil perikanan akibat pencerobohan kapal dan bot nelayan luar.

Langkah-langkah ini amatlah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada barangan import, menyelesaikan isu integriti orang tengah dan isu rantaian nilai makanan yang menyebabkan kita terperangkap dengan tiada perubahan secara signifikan selama hampir 10 tahun.

Kita juga ingin meminta perhatian pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, satu tindakan wajar diambil bagi membasmi kerugian bahan makanan yang meningkat sebanyak 62,843.8 metrik tan pada tahun 2021 berbanding sebanyak 49,478 metrik tan pada tahun 2011.

Bukan itu sahaja, walaupun kita sudah lama menggunakan Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP), tetapi kita masih belum ada beras dengan cop myGAP kita sendiri. Beras yang dituai dibawa ke pusat pemprosesan bercampur dengan beras tuaian bukan myGAP. Program bertaraf antarabangsa, tetapi fasiliti tidak mencukupi dan tiada outcome yang jelas. Perkara ini dibimbangi menjadi salah satu faktor pesawah kita yang mempunyai sijil semakin tidak berminat untuk meneruskan sijil.

Kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan langkah bagi mengurangkan birokrasi dan peraturan yang tidak mesra usahawan belia. Kita perlukan generasi tani yang profesional dan ini perlulah digarap dari awal supaya kelestarian sektor pertanian terjamin.

Oleh itu, dengan perbentangan bajet 2023 oleh Perdana Menteri ke-10, berjayakah kerajaan ‘revive’ sektor pertanian negara?

HANISAH ABD RAHMAN
Penyelidik YSL
Portfolio Kerajaan Tempatan, Infra dan Luar Bandar – HARAKAHDAILY 4/3/2023

- Advertisement -