Misi ahli parlimen PN bantu mangsa gempa Turkiye, Syria

Tuan Ibrahim bersama delegasi ahli Parlimen Perikatan Nasional dalam misi menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria sejurus sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
- Advertisement -

SEPANG: Prihatin terhadap mangsa-mangsa yang dilanda gempa bumi yang telah berlaku di Turkiye dan Syria, seramai enam ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) menyertai misi menyampaikan bantuan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, delegasi yang berlepas ke Turkiye pada jam 11.50 malam tadi adalah delegasi yang kedua daripada empat delegasi yang akan berlepas ke Turkiye dalam misi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam gempa bumi di  kedua-dua buah negara tersebut.  

- Advertisement -

“Dalam  misi kali ini, matlamat utama adalah untuk menyediakan keperluan yang sangat terdesak dalam kalangan mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria yang terselamat. 

“Kita akan agihkan bantuan makanan dan pakaian untuk musim sejuk yang akan dihantar ke kawasan sempadan dua negara terbabit yang membabitkan peruntukan bantuan bernilai RM200,000,” jelasnya sambil menambah pihaknya telah dimaklumkan suhu di Turkiye kini mencecah -7 Celcius.

Selain Tuan Ibrahim, delegasi yang kedua ini turut disertai Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Pendang; Datuk Awang Hashim; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Sungai Besar; Datuk Muslimin Yahya; dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.

Selain itu, Tuan Ibrahim memberitahu misi mereka ke Turkiye dan Syria pada kali ini juga adalah menyediakan rumah-rumah kontena kepada mangsa-mangsa yang terlibat. 

“Kita akan membina semula lima buah rumah sederhana kekal daripada kontena dengan kos sebanyak RM150,000. Satu daripadanya iaitu kontena makanan akan dihantar ke kawasan yang turut terjejas di Syria. 

“Sebuah kontena yang siap dan lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik air, ruang tidur yang selesa kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan gempa bumi menelan kos sebanyak RM30 ribu sebuah. 

“Penyediaan kontena ini untuk memberikan keselesaan kepada mangsa-mangsa gempa bumi kerana, kita difahamkan mangsa-mangsa gempa bumi yang terselamat sebelum ini hanya berlindung di bawah khemah-khemah sementara yang dibina,” katanya.

Selain Tuan Ibrahim, delegasi yang kedua ini turut disertai Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Pendang; Datuk Awang Hashim; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Sungai Besar; Datuk Muslimin Yahya dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, delegasi misi kemanusiaan pada kali ini turut disertai sukarelawan daripada PasRelief dan Sekretariat Aid4 Turkiye Syria, dijangka pulang ke tanah air pada 7 Mac nanti.

Justeru, ujarnya, dalam tempoh jangka masa panjang, target keseluruhan dapat membina 100 buah kontena yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bilik air, bilik tidur dan sebagainya.    

“Bersama-sama dengan ini, kita turut membawa dana sebanyak RM350,000  hasil daripada sumbangan ahli Parlimen PN dan juga orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terselamat dalam gempa bumi yang telah melanda Turkiye dan Syria,” katanya.  

Tambah beliau, melalui jadual dalam misi kali ini  akan bergerak di dua tempat yang dilanda bencana iaitu di Gaziantep dan Hatay.. 

“Sehubungan itu, pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2023