SAYA ingin mengulas sedikit berkenaan hasil kaji selidik O2 Research Malaysia yang dijalankan dengan kerjasama lima media arus perdana baru-baru ini. Saya telah ulas perkara ini secara sepintas lalu sebelum ini.
Ulasan saya ini adalah berdasarkan dapatan-dapatan kajian yang dilaporkan di media massa. Saya tidak mempunyai data kajian yang lebih terperinci melainkan apa yang dilaporkan di media.
Dari segi persampelan, saiz sampel kajian sebanyak 35,077 adalah besar. Jika kajian dilaksanakan mengikut kaedah yang betul, saiz sampel sebesar ini boleh meningkatkan kebolehpercayaan kajian.
Biasanya, kajian nasional yang dilaksanakan menggunakan kaedah random stratified sampling dengan saiz sampel sekitar 1,200 dan margin of error sekitar 2.8 peratus sudah memadai untuk memperolehi dapatan yang boleh dipercayai.
Kajian O2 Research Malaysia tidak menyatakan sama ada ia menggunakan kaedah random stratified sampling atau tidak. Jadi saya tidak boleh ulas hal ini.
Dari segi demografi sampel, semuanya menghampiri demografi Malaysia, kecuali jantina. 81 peratus responden yang terdiri daripada lelaki adalah agak jauh tersasar daripada demografi gender yang sebenar, iaitu sekitar 50 peratus lelaki dan 50 peratus wanita.
Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian-kajian yang lalu, tidak ada perbezaan yang ketara antara gender dalam membuat pilihan politik di Malaysia. Jadi, peratusan gender yang agak tersasar dalam sampel kajian tidaklah terlalu menjejaskan dapatan kajian secara keseluruhannya, walaupun perlu diakui terdapat kelemahan dalam aspek ini.
Kajian O2 Research Malaysia mendapati 71 peratus responden Melayu tidak yakin dengan keupayaan kerajaan pimpinan PH menunaikan manifestonya, berbanding 19 peratus yakin dan 20 peratus tidak pasti.
Sentimen negatif responden Melayu terhadap kerajaan pimpinan PH juga boleh dilihat apabila hanya 22 peratus percaya keadaan ekonomi negara bertambah baik, keadaan semasa negara adalah kukuh (17 peratus) dan negara bergerak pada landasan yang betul (26 peratus).
Responden bukan-Melayu sebaliknya lebih yakin dengan keupayaan PH menunaikan manifestonya iaitu kaum Cina 58 peratus dan India 64 peratus.
Sentimen responden Cina mengenai kedudukan ekonomi negara bertambah baik pula adalah lebih positif iaitu 58 peratus, keadaan semasa negara adalah kukuh (41 peratus) dan negara bergerak pada landasan yang betul (76 peratus).
Jika diperhatikan, sentimen responden bukan-Melayu terhadap keadaan negara di bawah pimpinan Kerajaan PH adalah amat berlawanan dengan sentimen responden Melayu.
Pada masa yang sama, Merdeka Centre for Opinion Research juga menjalankan tinjauan pendapat umum pasca PRU15 pada 26 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023. Kajian ini menggunakan kaedah random stratified sampling dengan saiz sampel sebanyak 1,209. Kajian ini mendapati trend tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan mengikut kaum yang hampir sama, walaupun peratusannya berbeza. Tahap puas hati kaum Melayu kepada kerajaan pimpinan PH ialah paling rendah, iaitu 49 peratus berbanding kaum Cina (65 peratus) dan kaum India (67 peratus).
Secara umumnya, sentimen kaum Melayu yang kurang memberangsangkan terhadap kerajaan pimpinan PH bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dalam siri kajian sebelum PRU15 yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre (yang menggunakan kaedah random stratified sampling), didapati hanya sekitar 15 peratus pengundi Melayu menyokong PH.
Hal ini diterjemahkan melalui keputusan PRU15 di mana PH hanya menang 6 (6.9 peratus) daripada 86 kerusi Parlimen majoriti besar Melayu di Semenanjung, iaitu kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu melebihi 65 peratus daripada keseluruhan pengundi. PN memenangi 67 kerusi (78 peratus) dan BN 13 kerusi (15.1 peratus).
Sentimen negatif pengundi Melayu terhadap kerajaan pimpinan PH seperti dapatan kajian O2 Research Malaysia menunjukkan sentimen penolakan pengundi Melayu terhadap PH masih berterusan selepas pilihan raya.
Mungkin ada yang bertanya, mana mungkin sentimen orang Melayu terhadap PH sebelum pilihan raya, atau dalam pilihan raya, sama dengan sentimen mereka terhadap kerajaan pimpinan PH sekarang yang mana BN adalah sebahagian daripada kerajaan? Tidakkah sekitar 28 peratus pengundi Melayu yang menyokong BN dalam PRU15 dapat menokok tambah peratusan kaum Melayu yang mempunyai persepsi positif terhadap kerajaan pimpinan PH?
Saya pernah menulis sebelum ini bahawa tidak ada ‘full vote transferability‘ antara PH dan BN. Ini bermakna, penyokong BN tidak semestinya menyokong PH dan begitu jugalah sebaliknya. Ini dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil Padang Serai di mana calon PH kalah teruk di kerusi Gred A PH. Sebabnya ialah sebahagian besar penyokong Melayu BN tidak mengundi calon PH dalam PRK tersebut. Sebaliknya, mereka mengundi calon PN.
Hal ini turut dibuktikan dalam kajian O2 Research Malaysia yang menunjukkan trend yang sama. Hanya 21 peratus penyokong BN bersetuju dengan pembentukan Kerajaan Campuran PH-BN. 59 peratus tidak bersetuju dan 20 peratus tidak pasti. Saya agak sebahagian besar daripada penyokong BN yang tidak bersetuju itu adalah kaum Melayu.
Sentimen negatif kaum Melayu terhadap Kerajaan Persekutuan mungkin disebabkan kerajaan yang ada hari ini didominasi oleh PH, sementara BN pula menjadi rakan kongsi minoriti dalam kerajaan.
Berdasarkan kajian-kajian lampau, tahap kepuasan hati terhadap kerajaan banyak dipengaruhi oleh faktor kaum. Kaum Melayu secara konsisten mempunyai tahap kepuasan hati lebih tinggi terhadap Kerajaan BN dan PN berbanding kaum bukan-Melayu. Kaum bukan-Melayu pula mempunyai tahap kepuasan hati yang lebih tinggi terhadap Kerajaan PH berbanding kaum Melayu.
Menurut kajian Merdeka Centre yang saya lihat, pada bulan April 2018, iaitu di akhir pentadbiran Kerajaan BN sebelum PRU14, kaum Melayu mempunyai tahap kepuasan hati terhadap kerajaan yang lebih tinggi iaitu 47 peratus berbanding India (37 peratus) dan Cina (17 peratus).
Apabila PH mengambil alih tampuk kerajaan pada bulan April 2018, keadaannya terbalik dengan kaum Cina mempunyai tahap kepuasan hati paling tinggi iaitu 88 peratus diikuti India (78 peratus) dan Melayu (73 peratus). Tahap kepuasan hati yang tinggi bagi semua kaum ini mungkin disebabkan oleh ‘euphoria‘ pengalaman pertukaran kerajaan kali pertama dalam sejarah sejak merdeka.
Di akhir pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan, iaitu pada bulan Februari 2020, tahap kepuasan hati semua kaum terhadap kerajaan jatuh menjunam. Namun, kaum Cina masih mencatatkan tahap kepuasan hati paling tinggi iaitu 38 peratus diikuti India (28 peratus) dan Melayu (26 peratus).
Keadaan sekali lagi berubah apabila PN mengambil alih tampuk kerajaan pada bulan Mac 2020. Tahap kepuasan hati kaum Melayu terhadap kerajaan tiba-tiba melonjak daripada 26 peratus kepada 87 peratus diikuti India (54 peratus). Tahap kepuasan hati kaum Cina sebaliknya menurun daripada 38 peratus kepada hanya 16 peratus.
Walaupun digelar ‘kerajaan tebuk atap’ dan pelbagai persepsi negatif diberikan terhadap ‘Langkah Sheraton’, majoriti kaum Melayu secara konsisten mempunyai persepsi positif terhadap Kerajaan PN berbanding kaum bukan-Melayu, terutamanya kaum Cina.
Berdasarkan trend ini, dapatan kajian terbaharu oleh O2 Research Malaysia bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau di luar kelaziman politik Malaysia. Ia hanya mengesahkan data sejarah (historical data) sebelum ini bahawa politik Malaysia masih berasaskan kaum.
Dapatan kajian-kajian sebelum ini menunjukkan tahap kepuasan hati terhadap kerajaan mengikut kaum berubah-ubah bergantung kepada parti mana yang menguasai kerajaan. Keadaan ini berlaku walaupun tidak terdapat perubahan ketara dari segi tahap pencapaian sosio-ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, kadar inflasi dan pendapatan semasa dan setelah berlakunya perubahan kerajaan.
Ini bukan bermakna prestasi kerajaan dalam mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat tidak penting. Tetapi ia adalah faktor kedua (secondary factor) dalam menentukan tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan yang memerintah. Kaum masih menjadi faktor utama (primary factor). Suka atau tidak, inilah realitinya.
Saya ingin memperkukuhkan hujah ini dengan memberikan beberapa contoh. Misalnya, semasa Kerajaan PN memerintah, bantuan kebajikan dan perniagaan diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Vaksin juga diberikan kepada semua. Tiada layanan istimewa (preferential treatment) berasaskan kaum dalam pemberian vaksin.
Dalam sesetengah keadaan, seperti bantuan perniagaan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), mungkin kaum Cina mendapat manfaat yang lebih berbanding kaum Melayu. Namun, tahap kepuasan hati kaum Cina terhadap Kerajaan PN berterusan rendah berbanding kaum Melayu.
Hal sebaliknya berlaku ketika Kerajaan PH memerintah. Kedudukan sosio-ekonomi rakyat dari segi kos sara hidup, kadar inflasi dan pendapatan tidak banyak berubah berbanding semasa BN memerintah sebelumnya. Malah, dari segi bantuan kebajikan untuk rakyat dan perniagaan, banyak yang dipotong. Tetapi sokongan kaum Cina terhadap Kerajaan PH secara konsisten lebih tinggi berbanding kaum Melayu.
Semua ini menunjukkan faktor kaum masih mendominasi persepsi rakyat terhadap kerajaan. Pada masa ini, orang Melayu lebih ramai menyokong PN berbanding PH, manakala orang bukan-Melayu pula lebih ramai menyokong PH berbanding PN. BN pula setakat ini dilihat masih belum mampu untuk memberi nilai tambah kepada PH dari segi menarik sokongan Melayu.
Inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh kerajaan yang dipimpin oleh PH hari ini. Mereka sedang berhadapan dengan cabaran untuk memulihkan persepsi rakyat dari segi faktor kaum yang merupakan faktor utama (primary factor) dan prestasi kerajaan yang merupakan faktor kedua (secondary factor). Keabsahan kaum (race legitimacy) dan keabsahan prestasi (performance legitimacy) saling berkait dalam menentukan penerimaan rakyat berbilang kaum di Malaysia terhadap kerajaan yang memerintah. Mana-mana kerajaan yang boleh menyeimbangkan kedua-keduanya akan dapat bertahan lama. Begitulah juga sebaliknya.
Lebih mencabar, prestasi kerajaan pimpinan PH selepas 100 hari memerintah juga dilihat lemah dengan semua Menteri, termasuk Perdana Menteri, mendapat skor di bawah 50 peratus. Rakyat secara keseluruhannya (cuts across ethnic groups) juga memberikan skor yang rendah terhadap keupayaan kerajaan mengurus pertumbuhan ekonomi (27 peratus), kecukupan bekalan makanan (26 peratus), kebajikan dan kesihatan rakyat (25 peratus) serta ketahanan ekonomi isi rumah, kemiskinan dan kos sara hidup (21 peratus). Ini menunjukkan Kerajaan PH juga sedang menghadapi masalah keabsahan prestasi yang rendah.
Buat masa ini, sepertimana yang ditunjukkan menerusi kajian oleh O2 Malaysia, nampaknya kerajaan pimpinan PH masih lemah dalam kedua-dua faktor kaum dan prestasi. Penolakan kaum Melayu masih tinggi dan prestasi kerajaan juga masih tidak seberapa.
Berdasarkan kajian-kajian lampau yang saya ikuti sejak tahun 2004, persepsi rakyat terhadap kerajaan semakin lama semakin menurun. Secara logiknya begitulah. 100 hari pertama ibarat bulan madu. Semuanya nampak baik. Selepas itu, apabila banyak masalah tidak dapat diselesaikan, sentimen rakyat terhadap kerajaan semakin merosot.
Kerajaan pimpinan PH memulakan prestasi 100 hari dengan asas sentimen positif yang rendah, terutamanya dalam kalangan kaum Melayu. Ini bukanlah satu permulaan yang baik. Tidak ada sebuah kerajaan yang kekal stabil apabila ia tidak diterima dengan baik oleh kaum majoriti.
Persoalannya, mampukah kerajaan pimpinan PH menafikan logik data sejarah (defy the logic of historical data) politik Malaysia bahawa sentimen rakyat terhadap kerajaan akan semakin bertambah buruk? Hanya masa dan takdir akan menentukan.
MARZUKI MOHAMAD – HARAKAHDAILY 3/3/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid09fobzbftRcDBSdzzCHot8aL7WpREtEUAUMHKLC6x2CCkktYogdSSq2mE73Y2sL11l&id=679581100&sfnsn=mo&mibextid=6aamW6
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Gagal: Mampukah K’jaan PH-BN atasi kajian prestasi?
- Advertisement -