Suami isteri ditahan bersama dadah, pistol

ACP Soffian Santong
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai dadah bernilai RM30,900 bersama sepucuk pistol serta lima peluru, dalam dua serbuan di Gelugor, di sini Khamis lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun di kawasan bawah sebuah pangsapuri pada 11.45 malam dan merampas dua peket syabu seberat 51 gram(g) bernilai RM5,100.

“Berpandukan lelaki itu, polis kemudian menyerbu sebuah unit pangsapuri yang disewanya lalu menahan isterinya yang berusia 43 tahun serta merampas 97g syabu dan 460g heroin yang kesemuanya bernilai RM25,800.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemukan sepucuk pistol jenis revolver .38 Smith &Wesson Special CTG dan lima butir peluru hidup, yang kemudian dihantar untuk ujian balistik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Soffian berkata pasangan berkenaan didapati aktif menjalankan kegiatan itu sejak pertengahan tahun lepas manakala dadah yang dirampas dianggar mampu digunakan 3,040 penagih.

Beliau berkata mereka didapati mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Katanya lelaki berkenaan positif terhadap dadah dan mempunyai rekod berkaitan dadah serta jenayah manakala kedua-duanya yang tidak bekerja direman seminggu bagi siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan merampas 5,264g ganja bernilai RM13,160 dalam pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Bezza di kawasan letak kenderaan di sini, Jumaat lepas.

“Hasil pemeriksaan pada 9.50 malam itu merampas lima bungkusan daun kering ganja di dalam kereta milik lelaki itu dan siasatan mendapati lelaki itu yang juga peniaga dalam talian aktif terhadap kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas,” katanya.

Menurut Soffian, polis turut menyita wang tunai RM1,225 dan sebuah lagi kereta daripada lelaki itu manakala kesemua ganja tersebut boleh digunakan oleh 10,528 penagih.

Katanya lelaki itu yang positif terhadap dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau direman enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

- Advertisement -