Kerajaan puas hati prestasi Kim Pan Gon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kim Pan Gon telah membuktikan prestasi yang bagus sebagai jurulatih pasukan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata selepas dilantik memimpin skuad negara pada 21 Januari 2022, buat kali pertama sejak 43 tahun lalu, iaitu sejak tahun 1980-an, pasukan Malaysia layak ke Piala Asia pada Jun tahun lepas secara merit.

- Advertisement -

Menurutnya, Pan Gon turut berjaya membuktikan kemampuannya apabila skuad negara melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir di Piala AFF.

“Kewujudan jurulatih asing bukan sesuatu yang baharu dalam arena sukan di seluruh dunia. Pelantikan jurulatih ini adalah berdasarkan pengalaman dan rekod prestasi yang cemerlang bagi membantu atlet mempamerkan prestasi yang terbaik,” katanya menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Sabak Bernam

Kalam meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan ranking pasukan bola sepak Malaysia di peringkat Asia Tenggara, Asia dan FIFA.

Beliau juga bertanyakan pencapaian di Kejohanan AFF Suzuki Cup 2022 – 2023 dan adakah kerajaan masih percaya dengan kemampuan jurulatih yang ada dan pemain naturalisasi yang ada sekarang atau sebaliknya.

Sementara itu, Hannah berkata kehadiran pemain naturalisasi ini akan mewujudkan persekitaran yang kompetitif dengan memberikan persaingan yang hebat kepada pemain tempatan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Namun begitu, katanya kerajaan sentiasa bersama dengan FAM bagi memastikan pembangunan pemain tempatan sentiasa menjadi keutamaan melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang merupakan keutamaan dalam agenda pembangunan bola sepak negara.

Beliau juga memaklumkan bahawa skuad bola sepak negara kini menduduki tempat ke-145 di peringkat dunia (FIFA), tempat ke-25 di peringkat Asia dan tempat ke-5 di peringkat ASEAN. – HARAKAHDAILY 2/3/23

- Advertisement -