
BEIRUT: Kecelaruan politik dalam mengurus negara yang semakin memuncak di Lubnan dikhuatiri bakal memunculkan tragedi ‘pembunuhan beramai-ramai’ rakyat negara itu dari segi ekonomi.
Senario semasa itu telah menyebabkan pound Lubnan (LBP) menjunam ke paras terendah baharu di pasaran gelap, didagangkan pada 90,000 pound kepada dolar Amerika Syarikat (USD) pada Rabu (1 Mac), waktu tempatan, lapor Arab News.
Kejatuhan terkini dalam mata wang tempatan bermakna kadar pertukaran adalah lebih daripada 60 kali lebih rendah daripada kadar asas 1,500 LBP/USD yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu di negara itu.
Di tengah-tengah amaran tentang kekacauan ekonomi yang menjulang, Kementerian Kewangan Lubnan mengambil langkah menetapkan harga dolar kastam pada 45,000 LBP supaya perbendaharaan negara boleh membayar gaji sektor awam.
Kementerian itu menambat nilai pada 15,000 pound Lubnan hanya beberapa minggu lalu; manakala kedai dan pasar raya juga mula menetapkan harga produk dalam dolar AS, juga pada Rabu.
Dengan mata wang tempatan yang menjunam dan harga komoditi dan bahan makanan meningkat setiap minit, langkah kementerian tersebut dikecam hebat kerana keputusannya untuk menaikkan dolar kastam – satu langkah yang dilihat besar berkemungkinan mengurangkan kuasa beli rakyat secara drastik.
Sehubungan itu, ahli ekonomi dan pakar politik Lubnan meramalkan pound Lubnan akan turun kepada 100,000 berbanding dolar tidak lama lagi.
Lelaki ancam bakar bank
Sementara itu, seorang lelaki menyerbu cawangan Creditbank di Sidon, selatan Beirut, dan mengancam untuk membakarnya jika dia tidak mendapat akses kepada simpanannya.
Lelaki itu akhirnya meninggalkan bank tersebut tanpa mendapatkan wangnya selepas diyakinkan dia tidak akan menghadapi dakwaan jenayah.
Pakar ekonomi Lubnan, Jassem Ajaka berkata bahawa tidak ada penghujungnya kepada ‘lubang yang telah dicerobohi negara’, sambil menambah: “Apa yang paling teruk masih akan tentang datang dan kita tenggelam dalam kekacauan akibat kesilapan yang kini terkumpul.”
Ajaka berkata Kementerian Kewangan Lubnan tidak mempunyai pilihan selain menaikkan dolar kastam untuk meningkatkan hasil perbendaharaan.
Sumber memberitahu Arab News bahawa kementerian menganggarkan kos untuk menampung kenaikan gaji dan elaun bantuan sosial yang ditambah kepada gaji sektor awam sebanyak 8,000 bilion pound Lubnan.
“Negara ini mengalami defisit yang besar, dan peningkatan hasil adalah salah satu tuntutan Tabung Kewangan Antarabangsa,” katanya.
“Selepas menaikkan dolar kastam dan memperdagangkan ekonomi, isunya terletak pada mengawal harga pasaran dengan ketiadaan institusi negara yang berkesan. Kekacauan besar menanti negara,” tambahnya.
Sementara, pemerhati ekonomi percaya jika keadaan politik Lubnan ketika kekal ‘tidak aktif’ untuk lebih cakna dan bijak mengawal senario semasa, maka kerosakan yang akan ditimbulkan sistem kewangan, ekonomi dan perbankan negara itu tidak dapat dielakkan.
Ketua Sindiket Pengimport Makanan, Hani Bohsali berkata keputusan Kementerian Kesihatan itu mengejutkan; dan ia dijangka akan meningkatkan harga komoditi keperluan sebanyak hingga 10 peratus.
“Walaupun minyak dan bijirin dikecualikan daripada kenaikan bayaran kastam itu, namun harganya akan meningkat apabila kadar mata wang tempatan jatuh,” katanya.
Ahli Parlimen Tripoli, Ashraf Rifi memberi amaran bahawa susut nilai mata wang tempatan boleh mengakibatkan malapetaka sebenar dengan kesan yang dahsyat kepada ekonomi dan rakyat negara itu.
“Rakyat Lubnan telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai ekonomi,” katanya.
Majlis Uskup Maronite bersidang pada Rabu dan merayu kepada kerajaan sementara untuk melaksanakan tugasnya dengan bijak dan mengelakkan sebarang tindakan yang akan memburukkan keadaan.
“Timbul kebimbangan terhadap keselamatan dalaman negara (akibat perkembangan semasa ekonomi Lubnan).
“Kami menyeru agar agensi penguatkuasaan undang-undang negara untuk mengetatkan langkah bagi mengekang senario semasa di Lubnan ketika ini,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 2/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!