KUALA LUMPUR: Jumlah pelaburan langsung ke luar negara (Direct Investments Abroad – DIA) oleh syarikat Malaysia pada tahun 2021 bernilai RM547.0 bilion manakala pada 2022 meningkat 10.1 peratus kepada RM602.1 bilion berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Negara.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal [PN-Bukit Gantang] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Syed Abu Hussin dalam soalannya meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan kedudukan pelaburan negara di luar negeri, nyatakan jumlah pelaburan dan syarikat-syarikat yang terlibat sepanjang tahun 2021 dan 2022.
Kata MITI lagi, bagi tahun 2021, DIA mencatatkan pelaburan paling tinggi ke Singapura iaitu sebanyak RM109.4 bilion diikuti oleh Indonesia sebanyak RM51.6 bilion dan United Kingdom sebanyak RM35.2 bilion.
Tambahnya, DIA bagi tahun 2022 pula telah mencatatkan peningkatan ketara dengan pelaburan paling tinggi ke Singapura iaitu sebanyak RM126.8 bilion diikuti oleh Indonesia sebanyak RM63.5 bilion dan Belanda sebanyak RM38.8 bilion.
“Sektor yang menyumbang kepada jumlah DIA tertinggi bagi tahun 2021 adalah sektor perkhidmatan iaitu sebanyak RM374.1 bilion dengan kenaikan sebanyak 8.6 peratus kepada RM406.2 bilion diikuti oleh sektor perlombongan sebanyak RM65.2 bilion pada tahun 2021, meningkat sebanyak 16.6 peratus kepada RM76.0 bilion,” katanya lagi.
Ujar MITI, sektor perkilangan pula mencatatkan sebanyak RM53.7 bilion pada tahun 2021 dan turut meningkat sebanyak 10.8 peratus pada tahun 2022 kepada RM59.5 bilion.
Menurutnya, aliran keluar DIA yang meningkat terutamanya dalam aktiviti kewangan, perlombongan, perkilangan, dan pertanian menunjukkan daya saing yang tinggi syarikat Malaysia untuk berkembang dan bersaing serta mengambil bahagian dalam rantaian bekalan di peringkat serantau dan global.
“Berhubung maklumat syarikat yang terlibat dalam DIA, untuk makluman, data ini tidak dapat dikemukakan oleh kerajaan kerana hal ini melanggar Akta Perangkaan 1965,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!