KUALA LUMPUR: Bilangan tahanan SOSMA 2012 yang sedang dalam perbicaraan seramai 195 orang sehingga 30 Januari 2023.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) mereka terdiri daripada 46 bagi kes penyeludupan/pemerdagangan manusia, dua bagi kes elemen keganasan dan 147 orang lagi dituduh di bawah Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan.
KDN menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan [PN-Tasek Gelugor] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Saifulruddin dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan akan mansuhkan SOSMA atau tambah baik peruntukan sedia ada dan sehingga kini berapa ramai tahanan SOSMA yang sedang menanti untuk dibicarakan.
Kata KDN, SOSMA 2012 merupakan undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik dan ada diperincikan dalam Jadual Pertama SOSMA 2012.
“Kerajaan berpandangan bahawa undang-undang keselamatan yang berada di bawah tanggungjawab kementerian ini termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.
Menurut KDN lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Walaupun begitu, katanya kementerian komited untuk menambahbaik undang-undang tersebut bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara, namun ia harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara. – HARAKAHDAILY 2/3/2023