Tidak salah Malaysia Madani contohi model MBI

- Advertisement -

ERA sebelum ini isu politik hanya berligar di gelanggang sama. Jarang diheret ke luar gelanggang sehingga asyik menghantar surat tuntutan (LOD).

- Advertisement -

Terbaharu Barisan Nasional (BN) menghantar surat tuntutan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertingginya Azmin Ali.

Ia ada kaitan isu pendakwaan ke atas seorang pemimpin Bersatu di mahkamah baru-baru ini. Dan sebelum itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan LOD kepada Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim.

Isunya berligar kenyataan yang menganggap perdana menteri berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan berpilih.

Pemimpin sama juga memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Disember lepas. Ia kaitan dakwaan menerima gaji ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. Muhyiddin Yassin juga berdepan tindakan serupa.

Kebimbangan itu bukan sahaja dirasai pemimpin PERIKATAN NASIONAL (PN).
Sebaliknya turut dikesan pemimpin PKR. Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim tiba-tiba mengingatkan kerajaan PH-BN supaya menggunakan kuasa secara cermat dan tidak terburu-buru.

Beliau bimbang kuasa eksekutif yang dimiliki ketua kerajaan cenderung untuk membuat pendakwaan terpilih terhadap parti lawan. Hassan tanpa berselindung menyebut apa yang dihadapi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.

Malah, ramai lagi pemimpin pembangkang cuba disiasat. “Termasuk juga bekas Menteri Kewangan. Kita perlu berhati-hati. Saya berdiri di blok kerajaan, pada hari ini sahabat saya Wan Saiful diheret ke mahakamah atas pertuduhan rasuah,” katanya ketika berbahas di parlimen baru-baru ini.

Beliau mengakui perdana menteri mempunyai kuasa yang luas dan besar.

“Kuasa perdana menteri besar, sekarang ada pada YB Tambun. Saya tidak ada niat tidak baik tapi hanya untuk mengingatkan. Jadi kuasa itu mesti digunakan dengan cermat, jangan terburu-buru,” katanya lagi.

Apabila isu politik diheret dengan LOD, ia memberi gambaran tidak subur terhadap amalan demokrasi. Ia juga boleh mendedahkan stail kepimpinan kerajaan yang ada sekarang.

Apa yang berlaku itu menyebabkan jentera kerajaan nampaknya semakin sibuk. Lebih-lebih polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak kompromi rasuah

Sebenarnya semua pihak menyokong untuk melahirkan sebuah tamadun yang benar-benar luhur. Ini kerana Islam tidak kompromi dengan rasuah, seleweng dana kerajaan atau apa-apa sahaja.

Lihat surah al-Baqarah: 188. Allah berfirman yang bermaksud “Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).”

Abu Dawud dan al-Tirmizi meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda: “Rasulullah s.a.w melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Jelaslah Islam tidak kompromi amalan rasuah dan apa sahaja yang menyalahi peraturan. Sebab itulah kerajaan Kelantan memperkenalkan pentadbiran negeri yang berteras al-Ubudiah, al-Masuliah dan al-Itqan.

Ubudiah menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Setiap perbuatan manusia hendaklah selari dengan syariat. Masuliah pula prinsip berkaitan amanah dan tanggungjawab. Dan Itqan prinsip yang menekankan kepada akhlak dan amalan soleh.

Prinsip itu digariskan kerajaan Kelantan sejak akhir 1990 di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI). Maka tidak harianlah sehingga sekarang negeri terbabit bebas rasuah melibatkan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.

Kelantan membuktikan prinsip tersebut. Biarpun ada dakwaan seleweng dan rasuah cuba dipalitkan, namun ia gagal dibuktikan. Sekadar tuduhan yang bersifat politik.

Madani sepatutnya melahir sebuah pentadbiran yang berjiwa besar. Melunaskan tanggungjawab secara adil. Dan bukan mencipta lebih banyak musuh.

Ini kerana cerita rasuah, bocor sana, tiris sini sudah lama diberitakan. Pelbagai kempen digerakkan bagi menentang rasuah. Ada juga dilaksanakan NGO.

Persoalannya mengapa ia masih terus berlaku. Tidak lain lagi kerana isu rasuah perlu ditanam dalam jiwa manusia. Ia bukan sekadar sebutan di bibir dengan laungan kempen di sana-sani.

Setidak-tidaknya mencontohi model yang ada di Kelantan. Ia dirintis sejak arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tidak salah Malaysia Madani melihat model MBI di Kelantan.

Inilah yang sepatutnya diterap Malaysia Madani. Ia selaras dengan tamadun awal yang dirintis Nabi Muhammad s.a.w ketika membuka Kota Madinah.

Rakyat menunggu elemen itu dimasukkan kerangka Bajet Malaysia Madani. Malangnya ia tidak kelihatan. Tempoh yang berbaki sekarang perlu dimanfaatkan kerajaan PH-BN.

Ini kerana tiada lagi istilah parti dominan di negara kita. Era Umno menguasai terajui negara sejak merdeka sudah lama berlalu. Teraju politik era sekarang mudah bertukar ganti.

Tidak semestinya mereka yang menguasai Putrajaya terus kekal. Ia sukar lagi berulang. Blok parti lain pula mungkin menguasai Putrajaya. Pemimpin hanya diberi pinjam kuasa seketika.

Apabila menteri berpindah ke saf pembangkang, dibimbangi juga bakal berdepan situasi seperti sekarang siasat, LOD dan saman. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -