KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,621 aduan atau 58 peratus daripada 2,825 aduan yang diterima dan disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara 2009 hingga 28 Februari tahun ini, membabitkan kandungan lucah.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata kesalahan yang dilakukan adalah mengikut peruntukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurutnya, baki aduan membabitkan 574 aduan (20 peratus) kandungan palsu, 546 aduan (19 peratus) kandungan jelik dan baki 74 aduan (3 peratus) melibatkan kandungan mengancam dan kandungan sumbang.
Daripada keseluruhan aduan, katanya sebanyak 108 kes masih dalam siasatan, 115 kes telah didakwa di mahkamah, 40 kes telah dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM138,250.00, manakala 84 kes telah dikeluarkan notis amaran dan 2,478 kes berstatus Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan/atau Tiada Kesalahan Dizahirkan (NOD).
“Kes-kes yang diklasifikasikan sebagai NFA/NOD adalah disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan yang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta 588,” katanya menjawab soalan lisan Syahredzan Johan (PH-Bangi).
Daripada 115 kes yang didakwa di mahkamah, Nie Ching berkata 108 kes telah selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,040,000 dan sebanyak tujuh kes lagi sedang dalam proses perbicaraan.
Katanya, 115 kes yang didakwa di mahkamah meliputi 46 kes kandungan lucah, 3 kes kandungan sumbang, 18 kes kandungan palsu, 3 kes kandungan mengancam dan 45 kes melibatkan kandungan jelik. – HARAKAHDAILY 1/3/2023