Serangan peneroka Israel: Palestin mohon perlindungan UNSC

Kesan serangan ratusan peneroka haram Israel terhadap kawasan penduduk Palestin di bandar Huwara berhampiran Nablus di Tebing Barat pada 27 Feb 2023. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

HUWARA: Palestin memohon perlindungan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) selepas ratusan peneroka haram Israel menyerang bandar Huwara di Tebing Barat yang diduduki Israel, mencederakan hampir 400 rakyat Palestin dan seorang maut.

Wakil Palestin, Riyad Mansour berkata, UNSC mempunyai kewajipan untuk mencari cara dalam ‘memberi perlindungan’ kepada orang awam Palestin, lapor Reuters.

- Advertisement -

“Kami percaya bahawa UNSC mempunyai tanggungjawab untuk dipikul, terutamanya berkaitan dengan…mengambil langkah untuk memberi perlindungan kepada penduduk awam, terutamanya selepas jenayah dan tindakan ganas  peneroka haram Israel di Huwara dan kampung berhampiran,” ujar Mansour memberitahu pemberita pada Selasa selepas mesyuarat tergempar yang diadakan secara tertutup.

Mesyuarat tergempar itu diusulkan Emiriyah Arab Bersatu selepas peneroka haram Israel bersenjata menyerang bandar Huwara di utara Tebing Barat lewat Ahad, membaling batu ke arah kediaman penduduk Palestin, membunuh seorang warga Palestin, dan membakar berpuluh-puluh bangunan dan kereta.

Dalam kejadian itu, peneroka haram Israel telah menembak mati Sameh Aktash, seorang warga Palestin yang baru-baru ini membantu mangsa gempa bumi 6 Feb di Türkiye.

Seorang penduduk Palestin, Sameh Aktash yang baru pulang selepas membantu mangsa gempa bumi di Turkiye terkorban dalam serangan peneroka haram Israel di kampung Zatara, selatan Nablus. (FOTO: Anadolu Agency)

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Aktash dibunuh oleh peneroka haram Israel yang berada  di bawah perlindungan tentera Israel di kampung Zatara, selatan Nablus.

Mansour menyeru wakil UNSC untuk melawat Huwara supaya mereka dapat melihat dengan mata mereka sendiri (dan) merasai kesedihan dan ketakutran dalam fikiran dan hati kanak-kanak serta ibu dan keluarga mangsa kekejaman peneroka haram Israel.

Duta Malta, Vanessa Frazier, yang mempengerusikan majlis tersebut berkata, 15 negara anggota UNSC perlu cuba untuk melihat sama ada terdapat cara untuk menghentikan sebarang hasutan untuk keganasan selanjutnya di bumi Palestin, dan untuk menggalakkan dialogantara Israel dan Palestin.

“Sementara itu kedua-dua pihak (Palestin dan Israel) perlu … menahan diri daripada sebarang tindakan keganasan,” katanya.  – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -