RM178.2 bilion jumlah pelaburan diluluskan Jan-Sept 2022

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan bagi tempoh Januari hingga September 2022 bernilai RM178.2 bilion melalui 2,755 projek.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri (MITI) jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 2.2 peratus berbanding jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sama pada tahun 2021 sebanyak RM174.3 bilion.

Katanya, pelaburan yang diluluskan dalam tempoh itu dijangka akan menjana 97,913 peluang pekerjaan baharu dengan mencatatkan pertumbuhan bagi peluang pekerjaan sebanyak 14.8 peratus berbanding Januari hingga September 2021.

Daripada jumlah itu, ujarnya pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM119.2 bilion merupakan penyumbang utama pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2022, meningkat 7 peratus berbanding RM111.4 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2021.

Manakala, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak RM59 bilion atau 33.1 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, turun 6.3 peratus berbanding jumlah pelaburan bagi tempoh sama tahun 2021 sebanyak RM63 bilion.

MITI menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail [PN-Kubang Pasu] di Dewan Rakyat hari ini yang minta kementerian itu menyatakan berapa jumlah pelaburan yang diterima oleh negara bagi sektor industri pembuatan dan perkhidmatan sepanjang tahun 2022 serta nyatakan perbandingan dengan pencapaian tahun 2021.

Menurut MITI lagi, sektor perkilangan menyumbang 588 projek yang diluluskan dengan jumlah pelaburan bernilai RM64.9 bilion dan dijangka menjana 58,141 peluang pekerjaan baharu.

“Projek-projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh ini termasuklah produk elektrikal dan elektronik yang merupakan penyumbang utama pelaburan dalam sektor perkilangan dengan RM22.6 bilion, seiring dengan perkembangan permintaan yang berterusan daripada segmen semikonduktor,” ujarnya.

Katanya, kelulusan bagi sektor perkilangan telah merekodkan penurunan dalam jumlah pelaburan sebanyak 37.6 peratus kepada RM64.9 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021 sebanyak RM103.9 bilion.

“Ini disebabkan kelulusan sebuah projek mega dalam tempoh Januari hingga September 2021 yang menyumbang sebanyak 40.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang tinggi dalam sektor perkilangan bagi tempoh tersebut,” katanya.

Bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah pelaburan sebanyak RM113.3 bilion telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2022.

Katanya, sektor itu telah menunjukkan peningkatan sebanyak 60.9 peratus berbanding Januari hingga September 2021, khususnya disebabkan oleh kelulusan projek-projek berintensif modal yang tinggi dalam subsektor perkhidmatan maklumat dan komunikasi, yang merangkumi aktiviti pusat data (data centre) dan perkhidmatan pengkomputeran awan (cloud computing services). Ini sejajar dengan trend global yang menjurus ke arah pendigitalan. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!