KUALA LUMPUR: Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Kelantan setakat suku ketiga 2022 adalah 96.09 peratus, kata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai].
Abdul Latiff meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan kesan yang timbul ke atas rangkaian komunikasi dan impak kepada pengguna di Kelantan selepas peralihan daripada 3G kepada 4G sepenuhnya pada 31 Disember 2021 dan bilakah pengguna akan mendapat manfaat sepenuhnya.
Menurut KKD, matlamat utama penutupan rangkaian 3G adalah untuk menggunakan semula spektrum sedia ada bagi meningkatkan kapasiti rangkaian 4G dalam usaha untuk memberikan pengalaman 4G yang lebih pantas dan baik kepada pengguna seterusnya mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.
Katanya, sehingga Disember 2022, 99.9 peratus rangkaian 3G di Negeri Kelantan telah ditutup.
Ujarnya lagi, dengan peralihan daripada perkhidmatan 3G kepada 4G, para pengguna secara amnya akan berpeluang untuk mengakses internet dengan lebih laju dan mutu perkhidmatan panggilan suara yang lebih berkualiti termasuk bagi pengguna di Negeri Kelantan.
“Pada peringkat awal peralihan daripada 3G kepada 4G, sesetengah pengguna telah mengalami sedikit mutu perkhidmatan panggilan yang kurang baik disebabkan oleh penyelarasan peranti yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Namun demikian, jelasnya perkara itu telah berjaya diselesaikan sepenuhnya dengan menggunakan fungsi, dengan izin, VoLTE atau “Voice over LTE”.
Walau bagaimanapun, kata KKD sekiranya para pengguna masih lagi mengalami pengalaman yang kurang baik, pengguna disaran untuk menghubungi penyedia perkhidmatan berkaitan bagi mendapatkan khidmat dan bimbingan.
Para pengguna juga boleh menghubungi pihak Pejabat SKMM Negeri Kelantan di talian 09-745 4800 bagi tujuan tersebut. – HARAKAHDAILY 1/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!