KOTA BHARU: Biarpun ada pihak menganggap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kurang berjaya mengurus bekalan air bersih, namun tidak ramai tahu sejarah yang berlaku.
AKSB bermula daripada kosong selepas projek bekalan air di Kelantan berdepan diskriminasi kerajaan pusat bermula Oktober 1990 sehingga 2001.
Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, ada pihak melihat AKSB sebagai entiti kurang berjaya kerana beberapa kes masalah bekalan air dan air berwarna.
Katanya, secara umumnya pihak terbabit melihat AKSB dalam perspektif yang negatif.
“Saya suka membawa untuk kita melihat dari perspektif yang positif bahawa keadaan berlaku sekarang merupakan satu kejayaan sebenarnya. Hendak tahu berjaya atau tidak kita kena lihat keadaan sebelumnya.
“Sebagai contoh seorang anak yang ayahnya seorang jutawan, kemudian ayahnya meninggal dan harta yang ditinggalkan ayahnya diwarisi anaknya.
“Jadi anak itu tidak boleh claim dia sebagai jutawan yang berjaya sebab dia warisi harta pusaka daripada ayahnya, bukan dari usahanya. Anak itu boleh mengaku berjaya kalau dia bermula dari kosong,” katanya di sini.
Oleh itu beliau mengajak orang ramai melihat kembali sejarah pembangunan projek bekalan air di Kelantan, di mana sebelum tahun 1990 bekalan air diuruskan JKR Bahagian Bekalan Air.
Kata beliau sebelum 1990 boleh dikatakan bekalan air di Kelantan setara dengan negeri-negeri lain, kerana pada masa itu semua negeri di negara diperintah oleh Barisan Nasional (BN).
“Apa yang menjadi set back kepada Kelantan ialah pada 21 Oktober 1990 berlaku pertukaran kerajaan negeri, maka segala apa yang berada di atas meja seolah-olah ditarik balik dan disimpan semula.
“Sebagai contohnya projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) yang telah diluluskan bernilai RM60 juta, sebaik sahaja bertukar kerajaan projek terbabit ditarik balik.
“Ketika itu projek Kerajaan persekutuan hanya gali telaga sahaja tetapi tidak membina loji rawatan air, sepatutnya dalam pakej projek BAKU dibina loji rawatan air dan tangki,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya sepanjang tempoh lebih 10 tahun bermula akhir 1990 Kelantan tidak lagi mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan persekutuan bagi meningkatkan projek bekalan air.
Kata beliau sehingga selepas masuk alaf baharu pada tahun 2001 baharu kerajaan persekutuan mula menyalurkan semula pinjaman projek bekalan air kepada Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!