KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) buat masa ini masih mengekalkan pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada nelayan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan laut dan RM250 sebulan kepada nelayan darat.
Kementerian itu memberitahu akan sentiasa mengkaji mekanisme dan kaedah yang terbaik bagi menyalurkan bantuan khususnya untuk menangani kenaikan kos sara hidup nelayan.
“Sebarang kenaikan ESHN ini mengambil kira kesesuaian dan keperluan pada masa akan datang kerana ianya akan melibatkan impliksi kewangan tambahan kepada kerajaan,” ujarnya kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Kapten Azahari Hasan [PN-Padang Rengas] di Dewan Rakyat, semalam.
Azahari meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah kementerian bercadang untuk mengkaji semula kadar elaun sara hidup nelayan.
Menurut KPKM lagi, pada masa yang sama adalah menjadi hasrat kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh kerajaan selari dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa.
Katanya, seramai 32 nelayan darat di kawasan Parlimen Padang Rengas telah menerima elaun ini pada tahun 2022. – HARAKAHDAILY 1/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!