Covid-19 beri pengalaman berharga kepada IPT

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Covid-19 telah memberi pengalaman berharga kepada IPT dan sektor pendidikan tinggi negara, khususnya dalam mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

- Advertisement -

Menurutnya, secara keseluruhannya, kesemua 20 universiti awam (UA) telah mempunyai pengalaman menjalankan pengajian secara atas talian (online learning).

“Ini bermakna, kesemua 20 Universiti Awam kita sudah bersedia untuk meneruskan pembelajaran dalam talian. Penawaran kursus dalam talian ini meliputi Massive Open Online Courses (MOOCs) dan Micro Credentials, Open Educational Resourses (OER) dan blended learning,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Kamal Ashaari [PN-Kuala Krau] di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalannya, Ustaz Kamal meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan tahap persediaan masa hadapan universiti dalam mendepani pembelajaran digital seperti yang telah dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak Covid-19..

Akan tetapi, kata KPT bagi jurusan-jurusan yang memerlukan amali dan kehadiran fizikal serta penggunaan makmal, bengkel dan pusat uji kaji, sesi PdP sudah kembali kepada pendekatan asal iaitu bersemuka (face to face).

“Walau bagaimanapun, dalam menjayakan pembelajaran digital ini, kita akui terdapat beberapa aspek yang mesti dilihat bagi mewujudkan sebuah ekosistem yang lengkap dan berkesan.

“Malah, kita mengakui beberapa kelemahan yang wujud mesti diberikan perhatian segera,” katanya lagi.

Misalnya, kata KPT peningkatan atau penaiktarafan infrastruktur, infostruktur, latihan kepada tenaga pengajar, semakan dan pengemasan kandungan subjek serta kaedah penilaian atau peperiksaan. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -