Belanjawan 2023 seolah mahu kekalkan Selangor, P Pinang

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selain belanjawan, setiap lima tahun pula, rakyat menunggu-nunggu untuk mendengar pembentangan Rancangan Malaysia, yang terakhir ialah RMK-12, kata Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman.

- Advertisement -

“Di sini saya ini bertanyakan YAB Tambun, sejauh manakah kerajaan hari ini melihat RMK-12 yang telah dibentangkan pada 27 September 2021, dari segi pelaksanaan dan keperluan menjayakannya?” ujarnya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini, katanta kerana dalam RMK-12, enam negeri kurang membangun iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak akan menerima sekurang-kurangnya 50 peratus peruntukan pembangunan (DE) Persekutuan.

Beliau berkata, secara kebetulannya empat daripada enam negeri tersebut dipimpin oleh parti selain parti di peringkat persekutuan iaitu PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Mungkin negeri-negeri ini rakyatnya tak berapa cerdik bak kata salah seorang menteri kerana memilih PN khususnya pada PRU baru-baru ini. Hanya Pulau Pinang dan Selangor banyak disebut,” katanya.

Justeru, ujar beliau seolahnya belanjawan kali ini hanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.

“Ada rasa goyah ker di dua negeri tersebut? Dan adakah negeri-negeri selain Selangor dan Pulau Pinang ini tidak berharga atau PM merasakan sudah hilang harapan untuk negeri-negeri tersebut?”

“Saya ingin bertanyakan pihak kerajaan, adakah Kerajaan Madani hari ini akan mengulangi perangai dan tabiat lama kerajaan terdahulu yang menganaktirikan negeri-negeri pembangkang (dalam kontak federal, tetapi perlu ingat bahawa di peringkat negeri kami adalah kerajaan yang sah).

“Dan inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Tambun dan kawan-kawan yang lain dalam perjuangan reformasi terdahulu,” ujarnya lagi.

Abdul Latiff turut bertanya kenapa semua itu berlaku.

“Adakah hadiah sempena 100 hari pentadbiran kerajaan campuran PH-BN? Adakah kerana ada agenda tersembunyi? Adakah kerana dendam?” katanya.

Tambahnya, sedangkan kawan baharu dalam kerajaan campuran hari ini lebih dahsyat dalam berbalas tuduhan antara satu sama lain.

“Kita berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada sifat dendam kerana hasad dan dendam bukan ciri-ciri ahli syurga,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -