26 maut, 85 cedera: Kereta api bertembung di Greece

Lokasi kejadian dua kereta api bertembung berhampiran bandar Larissa, Greece pada 1 Mac 2023. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

ATHENS: Dua puluh enam orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 85 cedera selepas dua kereta api bertembung di Greece.

Gabenor wilayah Thessaly, Konstantinos Agorastos berkata, kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Athens ke bandar Thessaloniki di utara yang bertembung dengan kereta api kargo di luar bandar Larissa di tengah Greece, pada awal pagi hari ini, Rabu (1 Mac), waktu tempatan.

- Advertisement -

“Pertembungan dua kereta api itu sangat kuat,” katanya kepada SKAI TV, sambil menambah bahawa empat gerabak pertama kereta api penumpang terbabit telah tergelincir dari landasan.

“Dua gerabak pertama yang terbakar selepas perlanggaran itu hampir musnah,” ujar Agorastos.

Kira-kira 250 penumpang telah dipindahkan dalam keadaan selamat ke Thessaloniki dengan  menaiki beberapa buah bas. 

Seorang penumpang memberitahu media tempatan, ERT bahawa dia berjaya melarikan diri selepas memecahkan tingkap kereta api dengan beg pakaiannya.

“Orang ramai di dalam gerabak menjerit panik,” kata seorang pemuda yang dipindahkan ke jambatan berhampiran kepada SKAI TV.

“Ia seperti kejadian gempa bumi,” ulas seorang penumpang lain,  Angelos Tsiamouras kepada ERT.

Liputan SKAI TV menunjukkan rakaman gerabak kereta api yang tergelincir, mengalami kerosakan yang  teruk dengan tingkap pecah dan kepulan asap tebal, serta serpihan bertaburan di jalan raya; sementara anggota penyelamat dilihat membawa obor dalam gerabak mencari penumpang yang terperangkap.

“Pemindahan penumpang sedang dijalankan dalam keadaan yang sangat sukar memandangkan keparahan perlanggaran kedua-dua kereta api itu,”  kata jurucakap bomba Vassilis Varthakogiannis dalam siaran SKAI TV itu.

Sementara, rakaman ERT menunjukkan pekerja penyelamat dengan lampu depan di dahi mencari mangsa yang terselamat di kawasan sekitar kejadian.

Media tempatan melaporkan kira-kira 350 orang menaiki kereta api penumpang itu, manakala kereta api kargo itu dalam perjalanan dari Thessaloniki ke Larissa.  – HARAKAHDAILY 1/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!